Siakap Keli
Kredit: Bored Panda

Australia: Hampir 500 Juta Haiwan Dikhuatiri Mati Terbakar, Lebih 8,000 Koala Antara Jadi Mangsa

New South Wales, Australia – Sekurang-kurangnya 8400 koala tergolong antara 480 juta haiwan dikhuatiri mati dalam krisis kebakaran belukar seluas 5 juta hektar di negara ini.

Antara haiwan yang terkorban adalah sejumlah besar reptilia, burung-burung dan mamalia termasuk koala yang dipercayai mati terbakar di Queensland dan New South Wales (NSW), lapor Mirror UK memetik kenyataan pakar ekologi Universiti Sydney.

Menurut The Guardian, sebanyak 5 juta hektar kebakaran berlaku di seluruh Australia sekaligus turut mengorbankan sembilan orang termasuk dua orang bomba.

New South Wales (NSW) merupakan habitat bagi kira-kira 15,000 hingga 28,000 ekor koala di Australia.

Menteri Alam Sekitar Australia, Sussan Ley melaporkan sebanyak 30% koala di NSW dilaporkan terbunuh apabila 30% habitat mereka musnah.

Lebih menerukkan keadaan, haiwan ini dikatakan bertindak mengikut naluri untuk memanjat pokok bagi melarikan diri, namun terperangkap dan terpaksa berjalan di atas tanah yang terbakar.

Kredit: Bored Panda

Kebakaran dilaporkan bermula sejak November lalu mengancam habitat haiwan-haiwan termasuk burung-burung dan kangaroo di lokasi terlibat.

Di samping itu, iklim panas dipercayai membuatkan kebakaran menjadi lebih buruk.

Sebelum ini, beberapa ekor koala diselamatkan dari kebakaran termasuk dua ekor koala yang keluar dari semak meminta pertolongan.

Sebuah video turut tular menunjukkan seekor koala didakwa mengejar seorang penunggang basikal untuk meminta air akibat dahaga.

Kredit: Standard.co.uk
Salah seekor brushtail possum yang terbakar dan berjaya diselamatkan. (Kredit: Mirror.co.uk)

Kini termasuk sebagai spesis terancam

Sebelum tragedi berkenaan, populasi koala di NSW dan Queensland dilaporkan menurun sehingga 42% antara 1990 dan 2010.

Jurucakap NSW Nature Conservation Council, James Tremain berkata jumlah koala menurun secara senyap dan perlahan.

“Bilangan koala menjunam sejak 20 tahun lalu. Kita memusnahkan ribuan hektar hutan mereka secara langsung dengan pembersihan agrikultur dan pembalakan. Kita juga mengecilkan habitat yang ada secara tidak langsung dengan perubahan iklim,” katanya.

Sumber: The Guardian, Mirror.co.uk

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.