Siakap Keli
Gambar : www.theglobeandmail.com

Berpuluh-Puluh Penerbangan Terpaksa Dibatalkan Selepas Ribut Ais Badai Kanada

Toronto : Badaian ribut ais telah menyebabkan berpuluh-puluh penerbangan terpaksa dibatalkan manakala beribu-ribu orang terputus bekalan tenaga di timur Ontario dan Quebec, lapor agensi berita Rusia Sputnik memetik kenyataan pihak berkuasa tempatan dan data pemantauan penerbangan.

Data FlightAware menunjukkan bahawa 63 penerbangan telah dibatalkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Montreal-Trudeau dan sejumlah 24 penerbangan lagi didaratkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Macdonald-Cartier di Ottawa.

Utiliti elektrik Ontario, Hydro One, telah melaporkan bahawa sejumlah 16,000 pelanggan masih terputus bekalan tenaga manakala 39,000 lagi sudah mendapat semula bekalan mereka.

Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau telah mengeluarkan kenyataan di Twitter menggesa rakyat yang terjejas agar menjaga keselamatan mereka.

“Kepada semua orang di Ontario dan Quebec yang terjejas akibat ribut ais hari ini, tolong jaga diri dan sila dengar nasihat pihak berkuasa tempatan anda. Terima kasih kepada semua anggota kru yang bertungkus-lumus untuk membersihkan jalan raya dan membantu orang ramai melepasi ribut itu,” menurut kenyataan itu.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.