New York : Pendakwa raya persekutuan Amerika Syarikat pada Isnin memfailkan pertuduhan melakukan jenayah kebencian terhadap seorang lelaki yang didakwa menikam lima orang Sabtu lepas di rumah seorang rabai di New York, lapor agensi berita China Xinhua memetik media tempatan.
Grafton Thomas, 37, dari Tasik Greenwood, menghadapi lima pertuduhan menghalang kebebasan melakukan amalan keagamaan dengan senjata serta percubaan membunuh dan berdepan hukuman penjara seumur hidup jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan itu dikemukakan selepas tertuduh dihadapkan ke sebuah mahkamah negeri di New York sehari sebelumnya, di mana dia mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan cuba membunuh dan satu pertuduhan merompak, menurut rekod mahkamah.
Beliau ditahan tanpa jaminan selepas hadir sebentar di sebuah mahkamah persekutuan di White Plains, New York pada Isnin.
Pihak berkuasa berkata jurnal tulisan tangan telah ditemui di rumah tertuduh dan sejarah pelayaran internet yang diambil daripada telefonnya mengandungi rujukan anti-Semitik, menurut aduan yang dikemukakan oleh seorang ejen khas FBI pada Isnin.
Keluarga Thomas dan peguamnya pada Ahad mendakwa bahawa tertuduh memiliki sejarah penyakit mental yang panjang, termasuk gangguan bipolar dan skizofrenia.
Insiden itu berlaku susulan serangan anti-Semitik yang berleluasa di seluruh negara dan pada malam ketujuh pesta Yahudi tradisional Jewish iaitu Hanukkah.
Gabenor New York, Andrew Cuomo, menyifatkannya sebagai “keganasan domestik” semasa melawat lokasi kejadian di pekan kecil Monsey, kira-kira 30 batu (48 km) di utara Bandaraya New York, yang dihuni oleh komuniti Yahudi ortodoks yang besar.
Sementara itu, Presiden Donald Trump mengutuk serangan tersebut dan menyifatkannya sebagai sesuatu yang “mengerikan” di Twitter pada Ahad.
“Kita perlu bersatu dalam memerangi, mendepani dan membasmi kejahatan anti-Semitisme,” katanya.
Sumber : Bernama