Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Makan Roti Putih Boleh Jadi Punca Sebabkan Insomnia?

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Hindari minuman berkafein. Ianya merupakan nasihat yang biasa kita dengar bagi mengelakkan kesukaran untuk tidur. Setelah mengambil minuman tersebut, mata akan terasa segar.

Namun, pernahkah anda mendengar bahawa dengan mengambil roti putih boleh menjadi punca insomnia kepada seseorang individu? Ikuti kupasan menarik oleh Hello Doktor seperti di bawah.

Insomnia disebabkan roti putih?

Saintis di New York City mencadangkan bahawa pengambilan makanan dengan kandungan gula yang tinggi boleh menyebabkan tahap gula dalam darah naik dengan tinggi sehingga mengakibatkan badan melepaskan hormon punca seseorang individu itu sukar tidur. Turut dipercayai bahawa individu wanita lebih berusia yang makan makanan bergula dan roti putih akan cenderung mengalami insomnia.

Penyelidikan yang diterbitkan dalam American Journal of Clinical Nutrition ini telah mengkaji buku harian makanan bagi lebih daripada 50,000 individu wanita pertengahan usia 60-an. Responden wanita yang terlibat dalam kajian ini telah melalui proses menopaus dan tahap indeks glisemik diet mereka telah dicatatkan oleh saintis.

Pengukuran indeks glisemik diet ini akan mengukur kesan makanan kepada gula dalam darah seseorang individu. Ini kerana makanan tinggi lemak atau protein mempunyai kandungan indeks glisemik lebih rendah berbanding makanan tinggi karbohidrat dan gula, yang akan mengakibatkan peningkatan tahap gula dalam darah.

Analisis penyelidikan

Analisis catatan dalam buku harian yang dilakukan mendedahkan pengambilan bijirin yang diproses dan gula dikaitkan dengan keadaan tidur yang tidak mencukupi. Keadaan ini juga dikaitkan dengan timbulnya keinginan untuk makan dengan lebih banyak, sekali gus turut akan memberikan kesan terhadap badan.

Berdasarkan kajian mendapati wanita dengan skor indeks glisemik diet tertinggi adalah 11 peratus lebih berkemungkinan untuk mengalami insomnia berbanding individu wanita yang mempunyai tahap skor indeks yang paling rendah.

Selain itu, responden wanita yang terlibat dalam kajian ini juga adalah 16 peratus lebih berkemungkinan untuk membangunkan masalah insomnia dalam tempoh susulan kajian jika mereka mengambil terlalu banyak makanan tinggi kandungan gula.

Individu wanita yang diet pemakanannya melibatkan pengambilan sayur-sayuran, serat dan buah-buahan (bukan jus) adalah sangat tidak berkemungkinan untuk mengalami insomia atau mengembangkan risiko untuk membangunkannya.

Walaupun buah-buahan, secara umumnya mempunyai kandungan gula yang tinggi. Namun, buah-buahan juga mempunyai kandungan serat yang dapat membantu mengurangkan peningkatan gula dalam darah. Keadaan ini sekali gus menjadikan ia sebagai makanan rendah indeks glisemik.

Hasil kajian

Menurut pengarang utama kajian, merangkap pakar psikiatri di Columbia University, Dr James Gangwisch, “Hasil daripada penyelidikan yang dijalankan membuktikan pemilihan dan pengambilan diet pemakanan tertentu adalah penting kepada individu yang mempunyai masalah insomnia.”

”Maka, jika seseorang ingin menghindari daripada berdepan dengan masalah insomnia, mereka perlu mengelakkan pengambilan makanan bergula serta mengawal berat badan,” ujar Dr James lagi.

Tindak balas badan

Walaupun kajian ini tidak menjelaskan mengapa pengambilan gula dan makanan karbohidrat diproses seperti roti putih, kek, pastri dan pasta boleh memberikan kesan terhadap kuantiti tidur seseorang, namun Dr James mempercayai perubahan hormon akibat pengambilan makanan tersebut boleh menjadi faktor mendasari.

Dr James menjelaskan, “Apabila gula dalam darah naik secara mendadak, badan anda akan bertindak balas dengan melepaskan insulin. Situasi ini akan menyebabkan penurunan gula dalam darah, sekali gus mengakibatkan pelepasan hormon seperti adrenalin dan kortisol. Hormon-hormon tersebut boleh mengganggu tidur.

Apa kata pakar?

Seorang penyelidik dari Tufts University di Boston yang tidak terlibat dengan penyelidikan ini, Dr Jose Ordovas berkata, “Kesan yang berlaku mungkin sebaliknya.”

Beliau berpendapat bahawa, wanita yang tidak dapat tidur akan cenderung untuk berdepan dengan diet yang tidak sihat. Ini kerana keletihan yang dialami akan meningkatkan pengambilan makanan ringan.

”Menggunakan kajian ini sebagai asas kepada pencegarah dan rawatan insomnia adalah sangat tidak kukuh,” ujar Dr Jose.

Selalunya doktor akan menyarankan diet rendah glisemik kepada individu yang perlu menurunkan atau mengawal kadar gula dalam darah mereka. Ini termasuk mereka yang menghidap diabetes, perlu menurunkan berat badan ataupun membangunkan tabiat pemakanan yang seimbang dan sihat.

”Untuk mendapatkan tidur yang lebih baik mungkin boleh dijadikan sebab lain untuk mengamalkan pemakanan rendah glisemik. Selain itu mesej utama dalam kajian ini adalah untuk menghadkan pengambilan karbohidrat diproses seperti roti putih dan gula tambahan yang berisiko untuk membangunkan atau memburukkan lagi insomnia,”  ujar Dr Jose.

Bagaimana insomnia berlaku?

Insomnia atau masalah tidur malam sering berlaku terutamanya dalam kalangan individu di bandar. Kehidupan bandar yang semakin aktif pada hari ini membuatkan insomnia semakin berleluasa.

Insomnia boleh muncul apabila anda mengalami tekanan. Masalah di tempat kerja atau sekolah dan kebimbangan tentang pekerjaan, kesihatan, kewangan, keluarga, rakan, atau hubungan boleh menjejaskan tidur anda. Lebih memburukkan keadaan, masalah tidak mendapat tidur yang berkualiti boleh berterusan walaupun selepas masalah anda berlalu.

Minum kopi, teh atau minuman tenaga pada waktu petang; atau makan terlalu banyak pada lewat makan boleh menimbulkan masalah untuk tidur. Mengapa? Kafein boleh menyebabkan anda berjaga.

Persekitaran yang tidak selesa juga boleh menyumbang kepada insomnia. Katil atau bantal yang tidak selesa, mahupun bilik yang terlalu panas, sejuk, bising dan cerah juga boleh membuatkan anda sukar tidur.

Sesetengah masalah kesihatan boleh menyebabkan insomnia, seperti :

  • Masalah kesihatan mental seperti tekanan, gangguan bipolar dan gangguan panik.
  • Masalah kesihatan fizikal seperti penyakit kronik, penyakit jantung, kanser dan diabetes.

Pengambilan ubatan tertentu juga mendatangkan kesan sampingan, termasuk insomnia. Selain itu, faktor peningkatan usia yang menyumbang kepada perubahan dalam badan turut menjadi faktor insomnia.

Cara atasi insomnia

Insomnia jika dibiarkan untuk tempoh jangka masa panjang akan menyebabkan seseorang individu mengalami masalah tidak cukup tidur kronik yang tentunya memberikan impak pada psikologi dan fizikal.

Jadi apakah cara untuk mengatasi insomnia?

  1. Hindari kafein. Ia dapat membantu untuk memudahkan anda tidur.
  2. Lakukan aktiviti. Jika tidak boleh tidur, bangun dari katil dan lakukan aktiviti lain seperti membaca buku atau mendengar muzik yang menenangkan. Tetapi jangan bermain telefon pintar atau sebarang gajet, kerana cahaya daripada skrin akan membuatkan anda lebih segar.
  3. Pemakanan seimbang. Amalkan pemakanan yang sihat serta melakukan aktiviti fizikal secara teratur. Ia pasti dapat membantu anda untuk tidur lebih mudah.

Kesimpulan 

Insomnia adalah satu keadaan biasa yang mempengaruhi tidur anda dan ia boleh berlaku kepada sesiapa. Walau jika keadaan yang anda hadapi semakin kronik, pastikan anda mendapatkan bantuan profesional.

Sumber : Asyikin Md Isa via Hello Doktor

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.

Nur Farra