Terengganu berhasrat melangsaikan hutang tertunggak kira-kira RM400 juta kepada Kerajaan Pusat membabitkan beberapa projek yang dijalankan kerajaan terdahulu.
Menurut Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, tahun 2020 merupakan tahun yang mencabar untuk kerajaan negeri kerana berdepan dengan pembayaran hutang secara maksimum kepada kerajaan pusat.
”Terengganu bakal menjadi negeri pertama bebas hutang pada 2021. Doakan”, kata beliau di laman facebooknya.
Hutang tersebut merupakan hutang tertunggak dan bayaran berjadual oleh kerajaan terdahulu.
Antara projek besar yang terpaksa membelanjakan hampir 400 juta adalah projek di Bandar Baru Kuala Nerus, Bandar Baru Kijal, projek di Tasik Kenyir dan projek-projek lain.
Keadaan ekonomi negeri Terengganu pada masa kini dilihat agak sukar namun bayaran tetap akan diteruskan selain daripada untuk menjadikan negeri Terengganu sebagai Negeri Bebas Hutang pada tahun 2021.
Hal ini telah disuarakan oleh beliau ketika merasmikan program Agihan Sumbangan Musim Tengkujuh kepada penduduk Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang, di Masjid Sultanah Zahirah, Marang.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tuh Abdul Razak, Ketua Polis Daerah Marang, DSP Mohd Zain Mat Dris dan Pengarah Majlis Tindakan Dun Rhu Rendang, Hassan Awang.
Sumber: Teganu Kita