Semua ibu bapa pasti mahukan yang terbaik untuk anak-anaknya. Rata-rata ibu bapa mempunyai cara didikan tersendiri untuk membantu pembentukan personaliti si anak.
Setiap anak mempunyai keistimewaan tersendiri dan mereka perlu didedahkan kepada pelbagai perkara agar mereka dapat mengetahui kecenderungan serta bakat masing-masing.
Hal ini penting supaya bakat mereka boleh dikembangkan menjadi lebih baik pada masa hadapan.
Bagi angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor pula, beliau dan isteri memfokuskan pembentukan yang seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek.
Beliau mengajar anak-anaknya berkuda, pengucapan awam, membaca al-Quran serta subjek pendidikan bagi mengimbangkan kecerdasan mereka.
“Kami cuba dedahkan anak kami kepada segalanya menjelang usia mereka 7 tahun dan berharap dapat melengkapkan mereka dengan sikap yang baik dan nilai yang sebenar.
“Dalam erti kata lain, kami cuba imbangkan mereka dunia dan akhirat.
“Falsafah saya dalam keibubapaan, menjelang usia 7 tahun, mereka patut;
- Khatam al-Quran
- Fasih bahasa Inggeris, Melayu dan bahasa asing (Mandarin)
- Lengkap bab tambah tolak darab bahagi dalam Matematik
- Sertai seni bela diri
- Pandai empat skil berenang; gaya bebas, kuak dada, kuak lentang dan kupu-kupu
- Pandai main peralatan muzik – piano
- Gimnastik
- Menunggang kuda
- Pengucapan awam untuk mengatasi rasa malu
- Memanah
- Seni, untuk kreativiti
Menurut beliau, anak-anaknya menunjukkan perkembangan yang positif mengikut rutin berkenaan walaupun mempunyai cabaran tersendiri.
Sumber: Dr Sheikh Muszaphar