Siakap Keli

Rogol Anak Saudara Dan Ugut Bunuh, Bekas Pemandu Lori Dipenjara 17 Tahun, 8 Sebatan

PUTRAJAYA, 2 Jan – Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman penjara 17 tahun dan lapan sebatan ke atas seorang bekas pemandu lori kerana merogol anak saudaranya, empat tahun lepas.

Rayuan terakhir lelaki berumur 41 tahun itu terhadap hukumannya telah ditolak sebulat suara oleh panel tiga hakim yang terdiri daripada Datuk Yaacob Md Sam, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Hadhariah Syed Ismail.

Hakim Yaacob, yang mengetuai panel itu berkata tidak terdapat apa-apa merit untuk mahkamah mengubah hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen dan dapatan oleh Mahkamah Tinggi.

“Dengan itu, rayuan perayu  ditolak dan hukuman pemenjaraan 17 tahun dan lapan sebatan dikekalkan.

“Perlu diingatkan, mahkamah sememangnya memberi perhatian kepada kes-kes rogol membabitkan kanak-kanak yang kini berleluasa dan mahkamah juga memberikan signal yang nyata kepada mereka yang ingin melakukan perbuatan sedemikian bahawa mahkamah tidak akan memberikan hukuman ringan ke atas perbuatan tersebut,” katanya.

Terdahulu lelaki itu yang tidak diwakili peguam dalam hujahannya merayu hukuman penjara terhadapnya dikurangkan kepada 12 atau 13 tahun atas alasan dia sudah insaf dan ingin pulang ke pangkuan keluarga.

“Saya tahu kesalahan yang saya lakukan adalah jijik dan kotor tetapi selama saya meringkuk di penjara, saya telah belajar agama dan mengikuti program pemulihan. Saya ingin berada bersama keluarga kerana isteri saya menghidap kanser payu dara dan dia terpaksa bekerja bagi menanggung ibu bapa saya yang uzur serta anak perempuan kami berumur enam tahun yang akan bersekolah,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Zaki Asyraf Zubir berhujah hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen adalah setimpal dengan kesalahan dilakukan oleh perayu.

“Perayu bukan sahaja merogol anak saudaranya tetapi turut mengugut bahawa dia akan membunuh ibu mangsa sekiranya mangsa memaklumkan kejadian itu (merogol) kepada orang lain.

“Dakwa perayu bahawa isterinya menghidap kanser payu dara juga tidak disokong dengan apa-apa laporan perubatan,” katanya yang turut memaklumkan perayu telah mengambil kesempatan terhadap amanah dipertanggungjawabkan kepadanya dengan merogol mangsa.

Pada 2 Nov 2016, Mahkamah Sesyen Sepang menjatuhkan hukuman penjara 17 tahun dan lapan sebatan terhadap lelaki itu yang mengaku bersalah ketika prosiding membela diri atas pertuduhan merogol remaja perempuan berkenaan yang ketika itu berumur 13 tahun dua bulan.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bilik resort di Sepang,  pada 1.30 petang antara 2 Feb dan 5 Feb 2016, mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376 (2) akta sama.

Rayuannya juga telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 22 Jan 2019 dengan hukuman terhadapnya dikekalkan.

Sumber: Bernama

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa

Nur Farra