Siakap Keli

“Sempat Buat Polisi Pertukaran Baru Semalam,” Guru Kongsi Momen Terakhir Dr Maszlee Sebagai Menteri

Pengumuman Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik, untuk meletakkan jawatan berkuatkuasa 3 Januari 2020, ternyata menimbulkan reaksi ramai terutamanya barisan kuat pendidikan, guru-guru seluruh negara.

Menerusi satu perkongsian yang dibuat oleh seorang guru, Mohd Fadli Salleh, di laman facebooknya, keputusan Dr Maszlee itu umpama kehilangan permata sekaligus menimbulkan rasa sedih para guru yang tak terungkap dengan kata-kata.

Menjadi tular dengan mendapat hampir 30K tanda suka dan 13 perkongsian dalam tempoh tiga jam di Facebook, rata-rata netizen dilihat tidak dapat menahan sebak mengenai keputusan tersebut.

Saya tidak tahu berapa lama lagi saya akan pegang kuasa ini

“YB, saya ingin bertanya, kenapa dalam pendidikan sekarang terlalu banyak perubahan drastik? Kadang apa yang diumum itu, akar umbi pun tidak tahu dan tidak bersedia menerima perubahan mendadak.”

Insan ini tersenyum. Memandang tepat ke dalam mata aku lantas berkata,

“Cikgu Fadli. Saya tidak tahu berapa lama saya akan pegang kuasa ini. Jika asyik kaji, kaji, dan kaji seperti kerajaan lama, apa pun tak akan berubah.

Sebab itu saya terus mengeluarkan arahan atas kapisiti saya sebagai menteri untuk terus menjadi dasar kerajaan. Pemansuhan serta merta LINUS contohnya. LINUS menjadi rungutan majoriti guru sejak sekian lama. Cara pelaksanaan yang tidak kena, banyak borang dan proses LINUS mengganggu PdPc guru.

Saya baca apa yang Cikgu Fadli tulis. Saya ambil maklum dan saya terus bertindak semasa ada kuasa.

Begitu juga dasar Zero Reject Policy. Saya tahu ramai guru-guru belum bersedia menerima anak-anak kurang upaya di aliran perdana. Mereka masih tiada ilmu yang cukup untuk handle murid sebegitu. Namun jika bukan sekarang, jika bukan masa saya ada kuasa, agaknya sampai bila-bila ia takkan dilaksana.

Pemansuhan peperiksaan di tahap 1 sudah sekian lama dikaji. Sudah dilaksanakan hampir semua negara maju. Dan kita masih takut-takut untuk berubah. Jika tanpa arahan menteri, kita masih ditakuk lama.

Banyak perkara kita perlu ubah dahulu baru kita perlahan-lahan belajar untuk menerima dan handle setiap perkara dengan baik. Semestinya akan ada kekurangan, namun masa dan kepakaran kita pasti dapat atasi semua kelemahan.”

Panjang lagi kami berborak, bercerita tentang hala tuju pendidikan negara.

Orangnya sangat merendah diri, sangat santun dan mudah didekati..

Dr Maszlee Malik. Satu susuk tubuh kecil yang diangkat menjadi Menteri Pendidikan Malaysia. Orangnya sangat merendah diri, sangat santun dan mudah didekati.

Belum ada lagi mana-mana menteri pendidikan sepertinya. Turun ke sekolah tanpa protokol menyantuni murid-murid dan guru. Yang membuka pintu rumah untuk guru biasa.

Belum ada yang sepertinya.

Serangan politik itu biasa. Beliau orang politik. Dihina bermacam-macam, dikutuk dan dimaki sentiasa. Namun beliau tetap tersenyum dan terus melangkah dengan tabah.

Dan petang tadi sebenarnya aku sangat terkejut dan sedih dengan pengumuman daripada YBM tentang perletakan jawatan sebagai Menteri Pendidikan.

Saat terakhir sebelum melangkah keluar pun beliau masih cuba berbakti..

Beliau sangat perform membuat perubahan demi perubahan dalam dunia pendidikan. Banyak bebanan tugas guru beliau ringankan, dan yang terbaharu semalam beliau sempat membuat satu polisi pertukaran baharu. Pertukaran suka sama suka yang sangat menggembirakan hati lebih 400k guru diluar sana.

Saat terakhir sebelum melangkah keluar dari pejabat menteri pun beliau masih cuba berbakti.

Aku beberapa kali pernah berhadapan dengan beliau secara peribadi, bertanya face to face tentang apa hala tuju pendidikan negara, apa kehendak beliau, apa pula kehendak kerajaan semasa, apa pula kehendak ibubapa, apa pula kehendak guru-guru apa pula kehendak target (murid/pelajar/mahasiswa)

Ternyata, beliau sangat jujur dan ikhlas dalam bidang pendidikan. Beliau mahu sebanyak mungkin perubahan ke arah kebaikan sebanyak mana yang ibubapa dan guru mahukan.

Biar apa kata-kata buruk yang orang hendak kata padanya, aku anggap Dr. Maszlee Malik merupakan Menteri Pendidikan yang terbaik pernah Malaysia ada.

Dalam tempoh 20 bulan sahaja beliau membuat perubahan demi perubahan, mendekati ibubapa, guru dan murid dengan cara luar biasa, cara yang belum pernah mana-mana menteri buat.

Mana mungkin orang ingin membenci seorang menteri yang sanggup..

Yang memaki dan memusuhi beliau bukan berpaksi kepada sikap beliau, tapi kerana perbezaan fahaman politik sahaja.

Mana mungkin orang ingin membenci seorang menteri (bekas) yang sanggup turun mengharung banjir besar sambil mendukung anak kurang upaya sepertinya.

Buat Dr. Maszlee Malik, teruslah berjaya dan cemerlang walau dimana YB berada.

Perkenalan singkat bersama tuan memberi seribu erti buat guru biasa macam saya. Budi, kesopanan dan kerendahan hati tuan sentiasa dalam ingatan.

Salam sayang penuh keikhlasan,
Mohd Fadli Salleh,
Guru Sk 1 Gombak.

#MFS
– Kehilangan permata di tengah kekalutan adalah satu kesedihan yang tidak terungkap kata-kata –

Sumber : Mohd Fadli Salleh

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.

Nur Farra