Siakap Keli
Foto: New Arena

Nampak Cantik & Warna Menarik, Ini Kuasa Racun Boleh Bunuh Manusia Yang Ada Pada Katak Ini

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Katak merupakan adalah salah satu haiwan yang ada di atas muka bumi ini. Ramai yang geli apabila melihat kehadiran katak ini kerana sifatnya yang lembik.

Namun begitu terdapat juga katak yang mempunyai warna yang mampu menarik perhatian orang untuk melihatnya. Tapi cantik tak semestinya tidak berbahaya. Tahukah anda katak yang mempunyai warna yang menarik boleh memudaratkan kita?

Ketahui fakta mengenai katak tersebut.

SI CANTIK BERACUN

Katak… terbayang rupanya yang hijau lumut, warnanya kusam dan menggerutu. Namun, ada famili katak yang mempunyai warna gemilang, terang, bercorak menawan dan menarik.

Tapi awas!
Si cantik itu boleh membunuh.

KATAK ‘POISON-DART’

Katak ‘poison-dart’ digelar sedemikian rupa kerana toksin yang dirembes oleh katak ini digunakan untuk meracuni mata panah buruan oleh puak natif indian di Amerika Barat.

Katak tersebut adalah sebahagian dari famili Dendrobatidae.

Famili Dendrobatidae termasuk Genus: Colostethus, Epipedobates, Phyllobates, dan Minyobates steyermarki (satu-satunya spesis dari genus Minyobates). Katak Dendrobatidae adalah natif kawasan tropika di Amerika Tengah dan Barat.

APOSMATISM

Kredit Foto: wikipedia

Katak Dendrobatids biasanya berwarna terang seperti merah saga, merah kuprum, kuning emas, hijau pucuk pisang, biru gemilang. Sebahagiannya juga mempunyai corak dengan warna yang begitu menonjol.

Ciri ini digelar ‘aposematism’ – apo (away), sema (sign). Warna terang dan corak yang menonjol menyebabkan pemangsa menjauhi katak tersebut.

Warna terang pada katak menunjukkan katak tersebut beracun dan menyakiti pemangsa yang cuba mengganggu mereka. Semakin terang warna katak, semakin poten tahap toksin katak tersebut.

Namun, sebenarnya kadang-kala ia hanyalah olok-olok saja. Katak yang berwarna terang tidaklah semestinya mempunyai toksin berbahaya, hanya menggunakan anggapan sahaja untuk mengekang pemangsa.

TOKSIN KATAK DENDROBATIDS

Katak Dendrobatids biasanya merembeskan toksin alkaloids lipofilik. Toksin ini dapat diserap oleh kulit kita dengan mudah.

Contoh toksin Dendrobatids adalah: allopumiliotoxin, batrachotoxin, epibatidine, histrionicotoxin, and pumiliotoxin.

Toksin-toksin tersebut adalah toksin yang akan meracuni saraf dan mengakibatkan kelumpuhan. Jika kelumpuhan melibatkan otot pernafasan dan otot jantung, sudah pastilah akan membawa maut.

Histrionicotoxin (HTX) contohnya, adalah perencat bagi reseptor nikotinik asetilkolin. Reseptor ini sebenarnya adalah sejenis lohong ion (ion channel) yang membenarkan interaksi impuls neuron-neuron dan neuron-otot.

Toksin HTX mampu menambat reseptor nikotinik asetilkolin pada tapak alosterik dan menstabilkan struktur asetilkolin yang menambat pada tapak aktifnya. Keadaan ini mengakibatkan asetilkolin tidak boleh diceraikan dari reseptor dengan pantas.

Reseptor lohong ion biasanya bertindak dalam masa tidak sampai sesaat, jika proses ini dilambatkan hanya setengah saat pun… pasti impuls neuron kita akan terjejas. Bayangkan jika impuls otak kita lambat sesaat memberi maklumat?

Epibatidine juga mempunyai mekanisma yang sama seperti HTX. Namun, epibatidine mempunyai afiniti yang sangat tinggi terhadap reseptor nikotinik asetilkolin, terutama pada subunit α4β2 reseptor tersebut.

Menariknya, varian subunit α4β2 adalah dominan di sistem saraf sentral (saraf tunjang dan otak). Dengan penambatan epibatidine, reseptor nikotinik asetilkolin akan terus menerus diaktifkan dan seterusnya merencat tindakbalas nociceptor (kesakitan) tubuh.

Epibatidine dikatakan 200 kali lebih poten merencat kesakitan berbanding morfin.

Malangnya, tindakan epibatidine tidak hanya spesifik terhadap tindakbalas reseptor nikotinik asetilkolin di otak. Aktiviti perencatan di otot periferi mengakibatkan kesan samping seperti gangguan tekanan darah, dan kelumpuhan otot kawalan pernafasan.

Pelbagai derivatif epibatidine disisntesis untuk aktiviti analgesik, sehingga kini masih tiada lagi yang berpotensi tanpa kesan samping yang berisiko tinggi.

Batrachotoxin adalah antara toksin yang paling poten dijumpai setakat ini. Mekanisma tindakan toksin ini agak berlainan, ia menambat pada lohong ion (ion channel) dan mengakibatkan lohong ini terus terusan terbuka. Jadi, impuls saraf akan terhenti dan ini akan mengakibatkan paralisis. Terutama pada otot jantung dan pernafasan.

Setakat ini, tiada antidot rawatan jika kita diracun oleh toksin-toksin katak ini.

KATAK GOLDEN POISON

Kredit Foto: poskupang

Katak yang berwarna kuning terang bergelar ‘golden poison frog’ (nama saintifik: Phyllobates terribilis) mampu menghasilkan lebih 20 kali ganda batrachotoxin dan terbitannya berbanding dendrobatids lain.

Katak ini kecil sahaja, tetapi 1mg toksinnya mampu membunuh 10 orang dewasa. Syukurlah katak jenis ini hanya endemik di kawasan Pasifik di Colombia.

Tetapi ada juga katak Dendrobatids yang diseludup masuk kenegara kita kerana keunikan dan kecantikannya. Jika anda terjumpa katak ini… boleh lah masuk gear lima dan angkat kaki.

Jangan risau, katak ini tidak menggigit atau mencederakan kita, toksinnya hanya ada pada kulit. Selagi kita tidak bersentuhan dengannya, katak ini tidak akan membahayakan kita.

Toksah berangan si katak bertukar jadi putera raja pula…

#cisplatin
#SainsAlami

RUJUKAN

Lukowski AL, Narayan AR. Natural voltage‐gated sodium channel ligands: Biosynthesis and biology. ChemBioChem. 2019 May 15;20(10):1231-41.

Protti-Sánchez F, Quirós-Guerrero L, Vásquez V, Willink B, Pacheco M, León E, Pröhl H, Bolaños F. Toxicity and Alkaloid Profiling of the Skin of the Golfo Dulcean Poison Frog Phyllobates vittatus (Dendrobatidae). Journal of Chemical Ecology. 2019 Dec 5:1-2.

Wang IJ, Shaffer HB. Rapid color evolution in an aposematic species: a phylogenetic analysis of color variation in the strikingly polymorphic strawberry poison‐dart frog. Evolution: International Journal of Organic Evolution. 2008 Nov;62(11):2742-59.

Sumber: Ini Sains Beb

Siti Natrah Jusof

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.