Siakap Keli

Usia Baru 11 Bulan, Disahkan Kurang Gula Dalam Badan Yang Teruk Bergantung Suntikan Seumur Hidup

MACHANG, 6 Jan – Usianya baharu mencecah 11 bulan namun sudah menanggung penderitaan apabila terpaksa bergantung hidup dengan suntikan ‘Octreotide’ seumur hidup selepas disahkan menghidap penyakit ‘Congenital Hyperinsulinism’.

Nur Shazia Airis Mohd Syazwan, kini berusia 11 bulan disahkan menghidap penyakit berkenaan sejak lahir selepas organ pankreasnya menghasilkan hormon insulin berlebihan, menyebabkannya mengalami kekurangan paras gula dalam badan yang teruk (Hipoglisemia).

Ibu kepada Nur Shazia Airis, Siti Noradila Mohd Nurdin, 26, berkata selepas lima jam dilahirkan di Hospital Machang, anak bongsu daripada dua beradik itu kelihatan kebiruan akibat tidak dapat bernafas, memaksa Nur Shazia Airis dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kota Bharu untuk rawatan lanjut.

“Doktor mengesyaki ia berpunca daripada masalah organ pankreas Nur Shazia Airis yang menghasilkan hormon insulin berlebihan menyebabkan anak saya dimasukkan ke wad selama hampir dua bulan sebelum dibenarkan pulang,”

“Bagi mengesahkan penyakit yang dihidapi HUSM juga telah menghantar DNA anak saya ke hospital luar negara dan selepas beberapa bulan Nur Shazia Airis disahkan menghidap penyakit berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Merbau Chondong, Pulai Chondong di sini, hari ini.

Siti Noradila, yang juga suri rumah, berkata, anaknya terpaksa bergantung kepada suntikan ubat ‘Octreotide’ sebanyak empat kali sehari bagi mengawal paras gula dalam badan dan ini melibatkan kos yang tinggi.

“Setiap enam jam sekali saya akan menyuntik Nur Shazia Airis dengan bertukar-tukar tempat suntikan iaitu di bahagian kaki dan bahunya untuk mengurangkan rasa sakit di tempat yang sama, malah Nur Shazia Airis juga terpaksa minum susu melalui tiub di hidungnya bagi mengelakkan gula dalam darahnya turun terlalu rendah.

“Doktor kata suntikan ‘Octreotide’ bersifat sementara, untuk sembuh doktor mengesyorkan Nur Syazia Airis melakukan pembedahan ‘laparoscopic pankreas’ namun ini hanya boleh dilakukan di hospital luar negara yang memerlukan kos sangat tinggi,” katanya.

Siti Noradila berkata, beliau memperuntukkan  RM1,000 sebulan bagi keperluan suntikan Nur Shazia Airis selain susu dan lampin pakai buang.

“Suami saya, Mohd Syazwan Mat Yaakub, 30, seorang penjawat awam dengan pendapatan bulanan hanya RM1,700, jadi kami sekeluarga terpaksa berjimat cermat demi kelangsungan hidup empat beranak,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Muamalat 03030007478724 atas nama Siti Noradila Mohd Nurdin atau menghubunginya dalam talian 0145307190.

Sumber: Bernama

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.