Siakap Keli

40 Bomba Malaysia Dijangka Ke Australia Bantu Padam Kebakaran

KUALA LUMPUR, 7 Jan (Bernama) —  Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah mengenal pasti 40 orang anggotanya untuk ditugaskan membantu memadam kebakaran hutan di Australia sekiranya diarah berbuat demikian.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata pemilihan anggota itu dibuat selepas mesyuarat penyelarasan dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) semalam.

“Saya percaya kita cukup bersedia kerana pemilihan anggota yang akan pergi telah dibuat dan jenis logistik (peralatan) yang akan dibawa adalah logistik asas pemadaman kebakaran hutan yang dikenal pasti mungkin berkesan untuk (memadam) kebakaran di sana,”

Bagaimanapun, kita sedang menunggu indikasi daripada pihak Australia (sama ada) ‘boleh atau tak boleh’’ untuk pergi, kalau ‘boleh’ (ia) akan melalui Jabatan Perdana Menteri dibantu Kementerian Luar untuk menghulurkan  bantuan ke negara itu,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Mohammad Hamdan berkata JBPM sebelum ini pernah terlibat dalam Operasi Haze membantu memadam kebakaran hutan di Kalimantan dan Sumatera, Indonesia pada tahun 1997 melibatkan kira-kira 1,200 individu yang terdiri daripada anggota bomba dan agensi lain.

Pada Ahad lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilaporkan berkata Malaysia bersiap sedia untuk menghulur bantuan yang perlu bagi membantu Australia yang kini berhadapan dengan krisis kebakaran hutan.

Menurut laporan media, sekurang-kurangnya 24 orang terbunuh dan hampir 2,000 rumah musnah serta jutaan haiwan terkorban apabila kebakaran hutan itu telah memusnahkan tiga negeri di Australia melibatkan kebakaran kira-kira lima juta hektar tanah.

Sumber: Bernama

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa

Nur Farra