Siakap Keli
Foto: Bernama

Ibu, Ayah Dan Bayi 4 Bulan Maut Tersepit Dalam Kereta, Terlibat Dalam Kemalangan Ngeri

KUANTAN, 10 Jan – Pasangan suami isteri dan bayi mereka berusia empat bulan maut dalam pelanggaran melibatkan tiga kenderaan di Km145, Jalan Kuala Lumpur-Kuantan di Temerloh hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Supt Kamarulzaman Jusoh berkata dalam kejadian pada 5 petang itu, Mohammad Adnan Anuar, isterinya Siti Tul Assiqin Abdul Wahab, kedua-duanya berusia 23 tahun, dan bayi mereka Nur Alissa Insyirah maut selepas tersepit dalam kereta mereka.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Mohammad Anuar dari arah Kuantan terbabas ke laluan bertentangan semasa melalui selekoh lalu melanggar lori tangki muatan minyak sawit yang berada di lorong tersebut.

“Lori tangki yang cuba untuk mengelak kemudiannya melanggar sebuah lori lima tan  yang berada di lorong kiri menyebabkan kedua-dua kenderaan tersebut terperosok ke bahu jalan,” katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Kamarulzaman berkata pemandu lori lima tan yang berusia 27 tahun cedera ringan pada tangan dan kaki manakala pemandu lori tangki yang berumur 55 tahun tidak cedera.

“Mangsa yang tersepit dapat dikeluarkan kira-kira sejam kemudian dan jenazah semua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh untuk bedah siasat,” katanya dan menurutnya keluarga itu berasal daripada Lanchang.

 

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)