Siakap Keli
Kredit: Bernama

Selangor Pantau Virus Influenza, Sekolah Akan Ditutup Jika Jangkitan Serius

SHAH ALAM, 10 Jan (Bernama) — Kerajaan Negeri sedang memantau perkembangan penularan virus Influenza A di negeri ini dan akan menutup mana-mana sekolah jika dikesan mempunyai tahap jangkitan yang serius.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata buat masa ini, pihaknya menerusi pejabat exco kesihatan negeri dimaklumkan terdapat kes jangkitan influenza di Cyberjaya namun situasinya masih terkawal.

“Bagaimanapun, jika angka (jumlah kes) bertambah dan kadar penyebaran (jangkitan influenza) itu pantas, kita akan ambil tindakan segera termasuk memberi pelepasan ataupun cuti kepada sekolah-sekolah di kawasan terlibat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan projek menaik taraf laluan B49 Persiaran Mokhtar Dahari di sini, hari ini.

Semalam, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memaklumkan terdapat dua lokasi di negeri ini dikesan positif jangkitan Influenza A iaitu di Sekolah Kebangsaan Cyberjaya melibatkan 20 pelajar serta seorang guru serta di Klang, membabitkan dua beradik.

Namun, tiada sebarang penutupan sekolah dilakukan setakat ini di Selangor dan penularan virus itu juga terkawal.

Mengenai projek naik taraf jalan raya berkenaan, Amirudin berkata ia dapat memberi manfaat kepada ribuan penduduk di sekitar kawasan Puncak Perdana apabila kesesakan trafik yang dihadapi sejak beberapa tahun lepas dapat dikurangkan sehingga 40 peratus secara keseluruhan.

“Kerajaan Negeri berharap projek naik taraf laluan ini yang juga bersambung dengan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) dapat memudahkan pergerakan penduduk di kawasan itu untuk ke Kuala Lumpur dan Shah Alam,” katanya.

Projek naik taraf laluan B49 Persiaran Mokhtar Dahari sepanjang empat kilometer dengan kos berjumlah RM111.5 juta itu dimulakan pada 1 Ogos, 2016 dan siap sepenuhnya untuk beroperasi pada 23 Sept lepas.

Dalam perkembangan lain, ditanya mengenai status sebuah banglo di lereng bukit di Jalan Kelab Ukay 2, Taman Kelab Ukay, Ampang dekat sini yang terjejas akibat insiden pergerakan tanah di kawasan itu, Amirudin berkata kediaman itu diisytiharkan tidak lagi selamat untuk diduduki.

Katanya, pemilik banglo terbabit juga bersetuju untuk merobohkan rumah itu dan kerajaan negeri bersedia membantu dua lagi unit kediaman berhampiran yang berisiko tinggi menerima kesan sekiranya berlaku runtuhan.

“Setakat ini, hanya tiga rumah yang terlibat (akibat insiden pergerakan tanah). Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) mengesan wujudnya pergerakan air yang agak besar di bawah tanah berkenaan dan mengisytiharkan tanah itu tidak lagi selamat untuk diduduki.

“Penghuni rumah-rumah berkenaan juga telah berpindah sementara pemilik banglo yang terjejas itu merobohkan kediamannya dan melakukan kerja-kerja pemulihan lanjut. Mungkin mengambil masa sekitar tiga hingga enam bulan,” katanya.

Pada 28 Dis lepas, Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyerahkan kepada kerajaan negeri untuk menyiasat punca pergerakan tanah berkenaan seterusnya mengambil tindakan mitigasi bagi mengembalikan keyakinan penduduk mengenai tahap keselamatan di kawasan berkenaan.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.