Siakap Keli

Ukraine Tuntut Permohonan Maaf Secara Rasmi Dari Iran

Ukraine menuntut Iran mengemukakan permohonan maaf secara rasmi selepas Tehran mengaku tidak sengaja menembak jatuh pesawat penumpang Ukraine yang mengorbankan semua penumpang, lapor agensi berita Anadolu.

Presiden Volodymyr Zelensky menulis di Facebook: “Pagi ini keadaan tidak baik, tetapi ia mengundang kebenaran. Bahkan sebelum berakhirnya siasatan antarabangsa, Iran mengakui kesilapannya. Tetapi kami mahu pengakuan yang sepenuhnya. Kami mahu Iran beri jaminan untuk bersedia disiasat dan membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan, membayar pampasan dan permohonan maaf secara rasmi melalui saluran diplomatik.”

Angkatan tentera Iran pada Sabtu mengaku tidak sengaja menembak pesawat penumpang Ukraine, awal minggu lalu.

Pesawat jenis Boeing 737-800 itu terhempas sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Imam Khomeini Tehran, beberapa jam selepas Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) melancarkan lebih sedozen peluru berpandu yang menyasarkan tentera AS di Iraq sebagai serangan balas terhadap kematian komander tertinggi tentera elit Iran Qasem Soleimani.

Nahas itu menyebabkan 176 penumpang termasuk sembilan anak kapal maut. Mereka yang terkorban termasuk warga Iran, Kanada, Ukraine, Sweden, Afghanistan, Jerman dan Britain.

— BERNAMA

Nur Farra