Siakap Keli
Gambar : Twitter @FaizFairez

Mangsa Lemas Seorang Pendiam, Jarang Mandi Pantai

Kuala Terengganu : Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Chendering, Tengku Mohd Afiq Tengku Muhazan, yang dikhuatiri lemas di Pantai Pandak, di sini dikatakan jarang mandi di kawasan pantai.

Perkara itu dimaklumkan ibunya Siti Fatimah Ismail, 48, berdasarkan pengalaman mereka sekeluarga apabila bercuti dan berkelah di kawasan pantai, namun tidak menyangka beliau mandi manda bersama rakan-rakannya semalam.

Katanya, pada kebiasaannya Tengku Mohd Afiq, 20, hanya bermain di bahagian pantai dan pasir sahaja.

“Afiq (mangsa) ni seorang yang pendiam dan bukan jenis yang suka keluar rumah. Sebelum ini Afiq kalau nak pergi ke mana-mana dia akan beritahu saya, tapi kali ini dia tidak memaklumkan apa-apa, “ katanya yang ditemui sumber di lokasi kejadian hari ini.

Sementara itu bapa mangsa, Tengku Muhazan Shah Tengku Muhammed, 46, yang bekerja sendiri berkata beliau hanya mengetahui kejadian yang menimpa anak ketiga daripada lima beradik itu setelah dimaklumkan oleh seorang rakan anaknya selepas waktu maghrib semalam.

Katanya, dua hari sebelum kejadian beliau ada menghubungi Tengku Mohd Afiq untuk bertanyakan sama ada anaknya itu akan pulang atau tidak pada cuti semester ini.

“Kali terakhir beliau (Afiq) balik ke rumah di Kota Bharu, Kelantan ialah dua minggu lepas iaitu sebelum cuti semester. Ketika beliau tiba di kampung baru-baru ini, saya dan ibunya berasa pelik sebab dia bawa balik barangan peribadi termasuk mandian kerana sebelum ini dia tidak pernah berbuat demikian,” katanya sambil menahan sebak.

Walaupun masih terkejut dan sedih dengan kejadian itu, beliau dan keluarga reda dengan sebarang kemungkinan namun tetap berdoa anak kesayangan mereka akan ditemui dengan selamat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu,  Rozizah Abni Hajar ketika ditemui berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa pada hari ini diperluaskan ke perairan Kuala Terengganu dan Marang dengan menggunakan bot dan kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Dalam kejadian semalam, kegembiraan sekumpulan 15 penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Chendering, yang mandi-manda bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka lemas manakala Tengku Mohd Afiq masih hilang.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, Mohd Nor Hishamudin Nor Saidi, 21, dan Tengku Mohd Afiq, dikatakan dibawa arus kuat yang datang secara tiba-tiba.

Mayat Mohd Nor Hishamudin ditemukan jam 9.50 malam tadi oleh pasukan  bomba kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.

Jenazah Mohd Nor Hishamudin telah dituntut keluarga dan dalam perjalanan ke Ipoh,  Perak.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.