KUALA LUMPUR, – Seorang anggota polis maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas dan melanggar penghadang tengah lebuh raya di Kilometer 411 Lebuhraya Utara Selatan, berhampiran Lembah Beringin, Hulu Selangor, hari ini.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Azman Ab Rahman berkata dalam kejadian 11.15 pagi itu, Lans Koperal Mohd Azmi Zainal Abidin, 30, yang bertugas di Balai Polis Kepong, Kuala Lumpur meninggal di tempat kejadian setelah motosikal RXZ dinaikinya bergesel dengan sebuah lagi motosikal sama yang dinaiki rakannya, juga seorang anggota polis.
“Mangsa dan rakannya yang menunggang berasingan dipercayai berkonvoi dalam satu kumpulan kira-kira 30 orang dari Kuala Lumpur menuju ke Sungkai, Perak,” katanya ketika dihubungi.
Azman berkata rakan mangsa yang bertugas sebagai anggota Pasukan Simpanan Persekutuan, yang patah kaki kanan dibawa ke Hospital Slim River untuk menerima rawatan.
Tambahnya, mayat mangsa pula dihantar ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sumber: Bernama