Siakap Keli

Kenali Perbezaan Virus Influenza A, B Dan C, Yang Mana Bahaya & Paling Kerap Serang Manusia

Umum telah mengetahui negara Malaysia kini sedang dilanda dengan virus influenza. Antara simptom utama bagi sesiapa yang menghidapinya adalah demam panas.

Virus ini kini dilihat sedang hangat menjangkiti rakyat Malaysia. Apakah sebenarnya yang dikatakan dengan virus influenza ini. Adakah ianya boleh membawa maut sekiranya tidak dirawat?

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, ikuti penulisan berkenaan dengan virus influenza ini seperti yang dikongsikan HelloDoktor seperti berikut:

Tidak semua influenza atau flu adalah sama. Terdapat beberapa jenis influenza yang berbeza. Ada yang menyebabkan simptom yang teruk, ada juga yang ringan.

Apakah jenis influenza?

Ada 3 jenis virus influenza: A, B dan C. Virus A dan B paling kerap menjangkiti manusia dan berlaku setiap tahun mengikut musim bagi negara-negara bermusim. Manakala di negara tropikal seperti Malaysia, ia berlaku sepanjang tahun.

Virus jenis A

Virus ini boleh menjangkiti kedua-dua, manusia dan binatang meskipun lebih kerap berlaku dalam kalangan manusia. Binatang yang dijangkiti kebiasaannya tidak menunjukkan tanda-tanda sakit. Antara yang boleh dijangkiti adalah ayam, itik, babi dan kuda.

Ia mempunyai beberapa subjenis bergantung kepada 2 protein di permukaan virus ini iaitu haemagluttinin (HA) dan neuraminidase (NA). Daripada dua protein ini, nama-nama subjenis virus diambil. Contohnya, H1N1, H3N2 dan H5N1. Banyak lagi subjenis lain sehingga H18 dan N11.

Virus yang menjangkiti binatang boleh tersebar kepada manusia melalui cecair daripada mulut binatang berkenaan. Kebiasaannya penternak ayam, itik atau babi boleh dijangkiti. Istilah selesema burung dan selesema babi merujuk kepada virus influenza A yang dijangkiti oleh manusia daripada binatang. Kes seperti ini jarang berlaku, tetapi jika berlaku, simptom yang dialami adalah lebih teruk dan risiko maut lebih tinggi.

Virus ini sering menyebabkan epidemik (penyakit yang kerap berlaku di sesuatu tempat) dan juga pandemik (epidemik di beberapa buah negara atau rantau).

Virus jenis B

Ini hanya ditemui di dalam kalangan manusia sahaja. Jangkitan virus B mungkin lebih ringan berbanding virus A. Namun, ia masih berpotensi menyebabkan penyakit dan simptom yang teruk. Tidak seperti virus A, ia tidak dikelaskan mengikut subjenis dan tidak menyebabkan pandemik.

Virus jenis C

Virus C menyebabkan penyakit paling ringan antara jenis influenza yang lain. Kadangkala, orang yang dijangkiti tidak menunjukkan sebarang tanda atau simptom. Jangkitan virus ini juga jarang berlaku.

Bagaimana ingin mencegah?

Vaksin adalah cara yang terbaik dalam mencegah jangkitan influenza. Walau bagaimanapun, virus ini kerap mengalami mutasi. Jadi, vaksin baru perlu diambil setiap tahun.

Namun, jika anda dijangkiti flu, pastikan langkah-langkah sepatutnya diambil untuk mengelakkan daripada virus tersebut tersebar.

Sumber: Muhamad Firdaus Rahim @ HelloDoktor

Aqmal Ezany

I write what is right

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.