Siakap Keli

Budak 2 Tahun Disyaki Didera Teman Lelaki & Ibunya Meninggal Dunia

Pihak polis berjaya menahan seorang ibu tunggal dan teman lelakinya kerana disyaki mendera kanak-kanak perempuan berusia dua tahun sehingga meninggal dunia.

Difahamkan, kanak-kanak yang merupakan anak kepada wanita tersebut telah dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) semalam untuk menerima rawatan dan telah dilaporkan meninggal dunia kira-kira jam 12.10 tengah hari pada hari yang sama.

Suspek yang berusia 22 tahun telah ditahan selepas pihak hospital mencurigai kesan lebam dan cedera yang ditemui pada tubuh kanak-kanak malang berkenaan.

Selepas bedah siasat dilakukan, punca kematian kanak-kanak tersebut didakwa terjadi akibat hentakan objek tumpul di bahagian kepala selain beberapa kesan parut yang dipercayai akibat penderaan berterusan ditemui.

Pihak polis telah memberkas suspek dan teman lelakinya yang berusia 33 tahun di perkarangan hospital tersebut kira-kira jam 3.45 pagi tadi.

Menurut Sinar Harian, kanak-kanak tersebut tinggal bersama pasangan berkenaan di sebuah bilik yang disewa di sebuah pangsapuri di Kempas.

Mangsa dilaporkan sering ditinggalkan sendirian bersama teman lelaki ibunya yang juga seorang penganggur ketika wanita berkenaan keluar bekerja sebagai operator di sebuah kilang.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner Md Yusof Ahmad ketika dihubungi Sinar Harian telah mengesahkan tangkapan kedua-dua suspek berkenaan.

Menurutnya, kedua-dua suspek telah direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes tersebut disiasat dibawah seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sumber: Sinar Harian

Aqmal Ezany

I write what is right

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.