Siakap Keli
Foto: Bernama

Jumlah Pelajar Dijangkiti Influenza A Di Selangor Meningkat Kepada 245 Orang

Jumlah pelajar yang disyaki menghidap Influenza A di Selangor dilaporkan terus meningkat hari ini kepada 245 orang berbanding 231 orang yang dicatatkan semalam.

Menurut Pengarah Pendidikan Selangor, Dr Mahanom Mat Sam, kawasan Klang mencatatkan jumlah jangkitan tertinggi iaitu 97 kes membabitkan 35 sekolah setakat 9 pagi tadi.

Sebanyak 53 kes membabitkan 27 sekolah melibatkan kawasan Petaling Perdana manakala di Sepang mencatatkan 30 kes membabitkan 7 sekolah.

Petaling Utama (23 kes dari 10 sekolah), Kuala Langat  (13 kes dari 6 sekolah) dan Gombak (11 kes dari 8 sekolah), Kuala Selangor (7 kes dicatat dari 6 sekolah), Hulu Langat  (6 kes dari 3 sekolah) dan Hulu Selangor (5 kes dari 2 sekolah).

Beliau turut memaklumkan semua mangsa dilaporkan stabil dan menerima rawatan di klinik dan hospital berhampiran. Mereka turut diberikan cuti diantara 3 hingga 7 hari dan dinasihatkan dikuarantin di rumah.

“Pesakit yang menerima rawatan di wad dan dipantau di hospital juga ada yang telah dibenarkan pulang,” katanya seperti yang dilaporkan Sinar Harian.

Setakat ini, tiada kelas ataupun sekolah yang ditutup di Selangor akibat wabak berkenaan.

Pejabat Daerah Kesihatan (PKD) turut melaksanakan langkah-langkah pencegahan dan mitigasi di sekolah-sekolah seluruh Selangor yang dikategorikan sebagai influenza like illness (ILS).

“Sehingga kini, 15 sekolah telah terlibat mitigasi dan penyahkuman secara total dan proses ini diteruskan kepada 10 sekolah lagi,” katanya.

Pihak sekolah juga turut disaran mengaktifkan Bilik Rawatan seawal sesi persekolahan bermula untuk tujuan pengasingan.

Sumber: Sinar Harian

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.