Siakap Keli

Operasi Besar-Besaran Banteras Mat Rempit Akan Dilaksana

PETALING JAYA, 14 Jan (Bernama) — Polis akan melaksanakan operasi besar-besaran bagi membanteras kegiatan samseng jalanan atau ‘mat rempit’ yang dilihat semakin berleluasa.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor berkata polis menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman telah mengenal pasti beberapa lokasi tumpuan kumpulan itu.

Beliau berkata pihaknya menerima banyak laporan berhubung kumpulan mat rempit yang secara tidak langsung menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

“Polis terima banyak aduan dan orang ramai susah untuk bergerak berikutan aktiviti daripada mat rempit.

“Jadi polis telah atur strategi khusus untuk banteras mat rempit dan saya beri amaran…kami akan lakukan sehabisnya untuk banteras kegiatan ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Op Selamat 16/2020 sempena Tahun Baharu Cina di Persada PLUS di sini hari ini.

Ditanya adakah kumpulan yang sering berkonvoi ke tempat tertentu juga tergolong dalam kategori mat rempit, beliau berkata mereka ini adalah kumpulan berbeza.

“Mereka yang berkonvoi adalah kumpulan yang teratur dan akan maklum kepada polis trafik pergerakan mereka sebaliknya mat rempit sering terlibat dalam pertaruhan tertentu,” katanya.

Mengulas Op Selamat kali ini, Mazlan berkata polis memberi tumpuan kepada enam kesalahan utama dalam operasi itu yang akan bermula Sabtu ini sehingga 1 Feb.

Antara kesalahan itu ialah memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit, memotong barisan, memandu laju dan tidak mematuhi lampu isyarat.

“Saya ingin tegaskan yang polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengguna jalan raya yang didapati melakukan kesalahan-kesalahan ini dan saman maksimum RM300 akan dikenakan serta-merta,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai untuk menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS).

“Dalam tempoh enam bulan ini, pihak polis akan pantau penggunaan CRS dalam kalangan masyarakat sebelum tindakan penguatkuasaan diambil,” katanya.

Turut hadir Pengerusi Plus Malaysia Berhad (PLUS) Datuk Mohamad Nasir Ab Latif dan Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Azisman Alias.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.