Siakap Keli

Influenza: Kemasukan Pesakit Ke Wad Meningkat – Ketua Pengarah Kesihatan

Terdapat peningkatan kadar konsultasi kes penyakit seperti influenza (ILI) dan jumlah kemasukan pesakit ke wad dengan jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) di lokasi-lokasi sentinel di seluruh negara sejak minggu akhir Disember tahun lepas, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata peningkatan tersebut dikesan di Kedah, Negeri Sembilan, Melaka, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Selangor, Perak, Johor, Pahang, Pulau Pinang, Terengganu dan Sarawak.

“Bilangan wabak ILI juga menunjukkan peningkatan namun keadaan masih terkawal,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya survelan influenza makmal yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) Sungai Buloh juga menunjukkan peningkatan trend aktiviti virus influenza dalam persekitaran.

“Bagaimanapun, tiada sebarang kelainan atau perubahan/mutasi pada virus influenza yang menular pada ketika ini. Aktiviti influenza ini juga adalah sama seperti aktiviti influenza yang dilaporkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di negara tropika yang lain dalam Rantau Asia Tenggara, Asia Selatan, Amerika Tengah dan Amerika Selatan,” katanya.

Mengenai status satu kes kematian kanak-kanak yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru seperti yang dilaporkan oleh media semalam, Dr Noor Hisham menjelaskan punca kematian pesakit tersebut masih dalam siasatan.

“Pesakit telah dirujuk ke HSA daripada sebuah hospital swasta pada 10 Jan lepas dalam keadaan yang sangat kritikal. Kanak-kanak itu telah menerima bantuan pernafasan dan rawatan rapi oleh pasukan perubatan yang diketuai pakar-pakar perubatan pediatrik.

“Namun keadaan pesakit semakin tenat dan beliau telah disahkan meninggal dunia pada 13 Jan, pukul 10.48 malam. Ujian sampel klinikal kanak-kanak ini adalah negatif bagi jangkitan influenza,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga mengambil maklum mengenai satu kes kematian kanak-kanak yang dilaporkan oleh pihak media pada Ahad lepas (12 Jan) yang turut dikaitkan dengan influenza.

Katanya, berdasarkan laporan awal yang diterima, pesakit telah dibawa oleh ibu bapanya ke Jabatan Kecemasan sebuah hospital swasta di Selangor pada 11 Jan lepas dan berada dalam keadaan yang kritikal.

“Pesakit telah meninggal dunia pada 12 Jan dan siasatan sedang dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kematian. KKM merakamkan ucapan takziah kepada keluarga kedua-dua kanak-kanak terbabit,” katanya.

— BERNAMA

Nur Farra