Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Ini Info Penting Wajib Tahu Mengenai Influenza

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Influenza adalah sejenis jangkitan saluran pernafasan. Juga dikenali sebagai flu, ia disebabkan oleh virus, yang dinamakan virus influenza.

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kes influenza di hampir seluruh negara ini telah merekodkan peningkatan sejak akhir Disember 2019.

Ianya ternyata membimbangkan ramai kerana flu boleh menjadi satu masalah kesihatan yang berbahaya jika tidak diberikan rawatan segera.

Ianya berisiko membawa komplikasi kepada kesihatan seperti masalah bronkitis, pneumonia, meningitis, kegagalan fungsi ginjal dan kegagalan fungsi hati yang boleh mengancam nyawa.

Oleh itu, ini merupakan info penting yang perlu anda tahu mengenai influenza supaya langkah-langkah perlindungan dapat diambil.

Apakah tanda dan simptom flu?

Biasanya simptom flu berlaku secara tiba-tiba. Pesakit akan mengalami:

  • Demam tinggi (37.8°C-40°C).
  • Seram sejuk dan menggigil.
  • Sakit kepala.
  • Hidung berair dan batuk.
  • Sakit badan dan sendi.
  • Penat dan tidak bermaya.

Kebiasaannya, simptom akan berlaku selama seminggu. Namun, kadangkala rasa letih dan tidak bermaya boleh kekal lebih lama. Warga emas dan kanak-kanak mungkin mengalami simptom yang lebih teruk.

Influenza disebabkan oleh virus, bukan bakteria

Perkara yang penting masyarakat perlu tahu adalah penyakit ini bukan disebabkan oleh bakteria, tetapi virus. Ini adalah penting kerana penyakit yang disebabkan oleh virus tidak boleh dirawat dengan antibiotik. Jangan tertukar dengan haemophilus influenzae B (Hib) yang merupakan sejenis bakteria.

Virus influenza terdiri daripada beberapa jenis; A, B, C dan D. Virus A mempunyai beberapa subjenis bergantung kepada 2 jenis protein yang terdapat di permukaannya. Protein tersebut adalah haemagluttinin (HA) dan neuraminidase (NA). Daripada 2 protein ini, nama subjenis virus berbeza diambil.

Contohnya, H1N1 dan H3N1 (dua jenis yang paling kerap menjangkiti manusia). Terdapat sehingga H18 dan N11.

Apakah rawatan yang ada?

Biasanya, rawatan sokongan untuk mengurangkan simptom sudah memadai kerana kebanyakan jangkitan tidak menyebabkan kesan yang serius, meskipun berpotensi menyebabkan komplikasi seperti pneumonia dan maut.

Apa yang boleh dilakukan adalah:

  • Rehat di rumah dan elakkan bersentuh dengan orang lain agar jangkitan tidak tersebar. Sentiasa basuh tangan dengan sabun.
  • Gunakan selimut untuk mengelakkan badan kehilangan haba.
  • Makan makanan yang sihat dan banyakkan minum air.
  • Jangan merokok dan mengambil minuman beralkohol.
  • Ubat demam dan tahan sakit seperti panadol, aspirin dan ibuprofen boleh membantu. Elakkan aspirin bagi kanak-kanak berumur di bawah 12 tahun kerana risiko komplikasi sindrom Reye.
  • Kadangkala, ubat anti-virus atas preskripsi doktor membantu mempercepat proses pemulihan.

Bagi yang tinggal berseorangan, sebaiknya dapatkan ahli keluarga atau kenalan untuk melihat keadaan anda. Jika demam dan simptom lebih 3 hari, sila berjumpa doktor dengan segera kerana ada risiko mengalami demam denggi.

Sebagai langkah pencegahan, anda boleh dapatkan vaksin influenza di klinik atau hospital. Vaksin ini perlu diambil setiap tahun untuk mendapatkan perlindungan yang lebih berkesan.

Sumber : Muhamad Firdaus Rahim via Hello Doktor

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.

Nur Farra