Siakap Keli

Redah Perjalanan Hampir 400 Kilometer Untuk Sertai Lumba Haram

KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) — Hanya semata-mata untuk menunjukkan kehebatan dan merebut wang pertaruhan sebanyak RM20,000, dua kumpulan sanggup meredah perjalanan sejauh 40 kilometer (km) dan 400 km untuk menyertai lumba motosikal haram di Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), awal pagi semalam.

Bagaimanapun tindakan kumpulan itu, masing-masing dari Dungun, Terengganu dan Negeri Sembilan membawa padah apabila 10 orang daripada mereka, dua daripadanya joki, ditahan dalam Op Khas Samseng Jalanan yang diadakan di KM 25.6 hingga 24.6 KM arah selatan lebuh raya itu.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata berdasarkan risikan, polis telah melakukan intipan dan merakam pelbagai aksi merbahaya sebagai bukti pendakwaan sebelum menahan kesemua suspek yang berumur antara 17 hingga 36 tahun.

“Dalam operasi hampir enam jam bermula 9 malam Isnin lalu, polis turut merampas wang tunai sebanyak RM38,000 yang dipercayai wang pertaruhan daripada dua suspek terlibat.

“Polis turut menyita tiga buah kereta dan dua buah motosikal Yamaha 125Z yang diubah suai, dipercayai untuk digunakan dalam perlumbaan terbabit,” katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai dan direman empat hari bermula semalam hingga 17 Jan ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 8 akta sama.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan lumba haram diminta tampil menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.