Siakap Keli

Tukang Masak Thailand Lari Bawa Sudip Dalam Serbuan Imigresen

NIBONG TEBAL, 15 Jan (Bernama) — Empat tukang masak dan pembantu sebuah restoran makanan Siam di Taman Seri Saujana, di sini yang sedang memasak hidangan pelanggan cuba melarikan diri sehingga membawa sudip dan senduk apabila panik diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang malam semalam.

Bagaimanapun, cubaan empat lelaki warga Thailand yang berumur 25 hingga 38 tahun itu untuk melarikan diri melalui pintu dapur gagal kerana sempat ditahan penguat kuasa JIM Pulau Pinang dalam Op Bersepadu itu yang bermula pukul 10 malam.

Pengarah Imigresen Pulau Pinang Muhamad Husni Mahmud berkata pemeriksaan mendapati pengusaha kedai tomyam itu turut menggaji dua lagi wanita warga Thailand sebagai pembantu di kedai itu.

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua mereka telah menyalahgunakan pas lawatan sosial dengan bekerja di Malaysia tanpa permit yang sah,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Beliau berkata dalam operasi itu, pihaknya turut menahan 40 lagi warga asing dalam serbuan yang menyasarkan kedai, stesen minyak dan restoran warga asing bekerja serta kawasan rumah flat yang menjadi tempat tinggal warga asing tanpa izin di sekitar kawasan Simpang Ampat, Bukit Mertajam dan Butterworth.

Menurutnya, mereka yang ditahan terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita warga Thailand, tujuh lelaki dan lapan wanita warga Indonesia, lima lelaki serta tiga wanita India, enam lelaki warga Bangladesh dan lima warga Myanmar termasuk dua wanita.

“Kesemua mereka berumur 20 hingga 40 tahun dan warga asing terbabit ditahan kerana tinggal di negara ini melebihi tempoh yang dibenarkan, menyalahgunakan pas lawatan sosial dan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah serta tiada permit kerja,” katanya ketika serbuan, masing-masing menyembunyikan diri bagi mengelak ditahan.

Muhamad Husni berkata operasi itu dijalankan untuk mengesan saki-baki warga asing yang masih berada di negeri ini secara haram selepas berakhirnya program Back For Good (B4G) pada Disember lepas dan pihaknya percaya masih ramai warga asing yang tidak mengambil peluang untuk pulang ke negara asal menerusi program itu.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.