Seorang pemuda hampir maut selepas menelan dua ekor belut hidup-hidup kerana percaya apa yang dikatakan orang kampung bahawa haiwan itu mampu menyembuhkan masalah sembelit.
Menerusi rakaman video menunjukkan pasukan perubatan mengeluarkan belut sepanjang 20 inci dengan salah seekor daripadanya masih lagi hidup dari abdomen pemuda itu.
Menurut pihak Hospital Perubatan Tradisional Cina Wilayah Jiangsu, di bandaraya timur Nanjing, lelaki itu sudah dibenarkan keluar hospital tetapi tidak mengesahkan sama ada video itu dirakam di pusat perubatan berkenaan.
Timbalan Ketua Pembedahan Umum, Sun Haijan berkata pemuda itu mengalami sakit perut kronik dan nyaris maut akibat jangkitan bakteria.
Dia turut mendedahkan imbasan CT yang menunjukkan dua ekor belut itu berada di antara organ dalaman pemuda itu sebaik ditelannya.
Menerusi keterangan daripada pesakit, dia sendiri percaya dengan kata-kata orang kampung bahawa menelan dua belut hidup-hidup mampu mengurangkan masalah sembelit yang dihadapinya pada 8 Januari lalu.
Kemudian, lelaki itu dikatakan mengalami kesakitan di bahagian abdomen namun menunggu hingga keesokkan harinya untuk mendapatkan rawatan di hospital.
Sebaik sahaja belut itu dikeluarkan semasa pembedahan kecemasan dilakukan, pakar bedah mendapati abdomennya dipenuhi dengan darah, air serta najis.
Sumber: Metro.co.uk