Siakap Keli

Kisah Budak 14 Bulan Maut Dipercayai Didera, Ayah Tiri Dakwa Anak Mati Kerana Termakan Lada Sulah

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Perkongsian seorang bekas peguam yang cukup terkenal dengan kisah jenayah di laman Twitternya, Sir Kamarul sekali lagi menceritakan detik cemas seorang mangsa iaiatu kanak-kanak berusia 14 bulan meninggal dunia. Paling menyedihkan, mengikut penceritaan dalam bebenang in, pembunuh mangsa dilepaskan daripada hukuman gantung.

“Mulut budak tu berbuih, gigi terkancing dan mata separuh bukak”

Jiran terdengar suara budak menangis dengan amat kuat dari arah dapur rumah budak itu. Rumah mereka hanya selang satu rumah pada deretan yang sama. 10 minit kemudian, budak kecil itu yang tidak berpakaian datang dengan ayah tirinya. Jiran pun tanya apa dah jadi pada budak ini? 

Ayah tiri kemudian jawab, budak ni termakan lada sulah. Melihatkan keadaan budak itu yang tidak bermaya, jirannya kemudian membawanya ke hospital. Jirannya ternampak ada kesan melecur pada tangan budak itu. Apa dah jadi sebenarnya pada budak kecil tu?

Kematian mangsa akibat kecederaan kepala yang disebabkan oleh trauma tumpul…

Gambar Sekadar Hiasan

Doktor yang memeriksa budak itu mendapatinya tidak sedarkan diri, bernafas tercungap-cungap serta dapat melihat beberapa kesan lebam di muka dan paha. Budak itu kemudian dirujuk pada pakar kanak-kanak untuk pemeriksaan lanjut. Pakar mendapati tekanan darah yang dialamai tidak stabil dan menyebabkan scan kepala tidak dapat dilakukan. Budak itu dipantau pakar dalam unit rawatan rapi (ICU). Pagi keesokkan harinya, budak itu disahkan meninggal dunia. Pihak polis terus dimaklumkan.

Pakar forensik kemudian melakukan bedah siasat. Pakar kemudian merumuskan punca kematian budak itu (mangsa) adalah akibat kecederaan kepala yang disebabkan oleh trauma tumpul. Terdapat pendarahan berganda dalam kulit dan di bawah kulit kepala serta pendarahan pada otak.

Suspek utama ibu kandung dan bapa tiri

Pakar forensik menjelaskan kecederaan yang dialami adalah konsisten dengan kecederaan yang bukan kemalangan. Jadi, siapa yang bertanggungjawab?

Bapa tiri mangsa bersama ibu kandungnya kemudian ditangkap polis di hadapan bilik mayat. Mereka berdua disyaki terlibat dan bertanggungjawab atas apa yang berlaku pada mangsa. Ibu kandung mangsa kemudian meninggal dunia setahun sebelum perbicaraan bermula di mahkamah.

Bapa tiri mangsa kemudian didakwa atas kesalahan jenayah membunuh mangsa di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan. Suspek berhadapan hukuman gantung sampai mati jika didapati bersalah. Yang menjadi persoalannya, apa yang berlaku di rumah suspek pada hari kejadian?

Semasa perbicaraan, suspek menceritakan segalanya apa yang berlaku. Suspek duduk menyewa di rumah bersama isterinya yang merupakan ibu kandung mangsa. Adik ipar suspek pun tinggal sekali bersama. Pada hari kejadian, suspek balik ke rumah pada tengah hari.

Isterinya berada di tingkat bawah rumah ketika itu. Suspek melihat muka mangsa yang ada kesan lebam. Dia terus bertanyakan isterinya. Isteri suspek pun jawab, mangsa jatuh tangga kat rumah ibu suspek 2 hari lepas. Sebab tu ada kesan lebam.

Segalanya bermula…

Suspek kemudian suruh isterinya membawa mangsa ke klinik. Wang RM20 diberikan suspek kepada isterinya untuk keluar membeli susu. Suspek pun naik tingkat atas untuk mandi. Sebelum suspek mandi, isterinya bagitau dari bawah yang dia mahu ke kedai. Selepas itu, segalanya bermula…

Semasa suspek sedang mandi, dia terdengar suara mangsa menangis. Suaranya dari tingkat bawah. Tangisan itu berhenti selepas 10 minit. Selesai mandi, suspek terus turun ke bawah. Suspek kemudian melihat mangsa di atas lantai dekat anak tangga bawah.

Mangsa dalam keadaan basah dan sesak nafas. Botol lada sulah dengan tudungnya terbukak ada di berhampiran mangsa. Suspek cuba memanggil isterinya tetapi kelibatnya tidak kelihatan. Mangsa diangkat suspek ke bilik air untuk dibasuh mukanya.

Mangsa kemudian diberi minum air masak tetapi keadaan mangsa tetap sama. Tidak berubah. Kerana panik, suspek pergi ke rumah jirannya bersama-sama mangsa. Suspek cuba meminta tolong jirannya.

Satu-satunya inferens yang boleh dibuat ialah, suspek yang menyebabkan kecederaaan itu.

Hakim Mahkamah Tinggi memutuskan suspek bersalah membunuh mangsa. Oleh sebab kecederaan di kepala mangsa adalah bukan kerana kemalangan atau dilakukan sendiri, satu-satunya inferens yang boleh dibuat ialah, suspek yang menyebabkan kecederaaan itu.

Berdasarkan fakta dan hal keadaan sekeliling semasa kejadian, suspek bertanggjungawab atas kematian mangsa. Suspek didapati bersalah dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati. Peguam bela suspek kemudian membuat rayuan di Mahkamah Rayuan Putrajaya.

Kes kemudian didengar di hadapan 3 panel hakim Mahkamah Rayuan. Peguam bela suspek berhujah bahawa suspek langsung tidak terlibat dalam menyebabkan kematian mangsa, apatah lagi dalam membunuh mangsa.

Suspek hanya boleh menyatakan apa yang dia dengar, lihat dan buat. Suspek tahu isterinya ada bersama mangsa ketika suspek sedang mandi. Suspek dengar mangsa manangis. Suspek tidak tahu mangsa jatuh dan suspek tidak tahu apa yang menyebabkan mangsa berada dalam keadaan seperti mana semasa suspek turun melihat mangsa. Suspek tidak boleh dianggap pembohong hanya kerana menyatakan tidak lebih daripada apa yang dia tahu.

Semasa suspek memberi keterangan, apa yang diterangkan itu tidak boleh dianggap bohong…

Keterangan suspek tidak dicabar dalam pemeriksaan balas oleh pihak pendakwa raya yang dengan itu dianggap menerima hakikat bahawa suspek tidak bersama mangsa ketika kematian itu berlaku. Juga tidak dicabar, fakta yang mengatakan isteri suspek ada bersama mangsa ketika kejadian.

Suspek dikatakan berbohong kerana mengatakan mangsa mati kerana termakan lada sulah, tetapi saksi pendakwaan tidak ditanya sama ada terdapat kesan lada sulah di badan atau mulut atau perut mangsa. Oleh itu, suspek tidak boleh dianggap berbohong.

Saksi pembelaan telah mengemukakan keterangan bahawa mangsa pernah jatuh terhantuk kepalanya pada starter motosikal beberapa hari sebelum kejadian. Jadi, ada kemungkinan mangsa mati bukan kerana perbuatan suspek.

Tiada bukti yang jelas dan nyata mengenai apa sebenarnya yang berlaku yang menyebabkan kecederaan yang membawa maut itu. Tiada kepastian sama ada kecederaan itu berlaku dalam satu kejadian atau boleh disebabkan beberapa kali jatuh atau terhantuk.

Berbeza dengan mangsa tikaman di dada atau tembakan di kepala, di mana niat membunuh mudah ‘diinfer’, di sini niat tidak boleh ‘diinfer’ kerana tiada kepastian sama ada mangsa dicederakan atau sendiri tercedera. Tiada kepastian dan meragukan.

Keterangan hal keadaan tidak menunjukkan secara tepat bahawa kematian mangsa disebabkan oleh suspek atau sebaliknya. Terdapat kemungkinan kecederaan yang dialami mangsa itu datang dari sumber selain daripada suspek (kes PP v Hanif Basree).

Disebabkan ada keraguan untuk kaitkan kesalahan suspek membunuh mangsa, suspek dibebaskan dari hukuman gantung.

Disebabkan adanya keraguan bagi mengaitkan suspek dalam kesalahan membunuh mangsa, panel hakim Mahkamah Rayuan pada Mac 2010, YAA Tengku Baharudin Shah, Heliliah dan KN Segara telah memutuskan suspek wajar dilepas dan dibebaskan. Hukuman gantung sampai mati diketepikan.

Apa yang sebenarnya terjadi pada mangsa dalam tempoh masa 10-15 minit semasa suspek sedang mandi masih menjadi misteri dan tanda tanya. Suspek dilepaskan dan dibebaskan dari tuduhan membunuh. Siapa yang bertanggungjawab menyebabkan mangsa mati terus jadi persoalan.

Sumber: Sir Kamarul

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)