Siakap Keli
Kredit: Bernama

JPA Arahkan Semua Agensi Kerajaan Guna Bahasa Kebangsaan Untuk Urusan Rasmi

Kuala Lumpur, 20 Jan- Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meminta semua agensi, jabatan kerajaan dan kementerian menggunakan bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi bagi memperkasakan bahasa kebangsaan ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman, usaha ini bagi memastikan pemerkasaan bahasa kebangsaan terpelihara dan dilaksanakan secara menyeluruh dalam semua urusan rasmi.

“Agensi Kerajaan bersama-sama pegawai hendaklah memastikan penggunaan bahasa kebangsaan dalam sektor perkhidmatan awam dilaksanakan secara menyeluruh dan digunakan dengan betul dalam semua urusan rasmi sama ada dalam bentuk tulisan mahupun lisan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, semua jabatan perlu menggunakan bahasa kebangsaan dalam perkara melibatkan urusan rasmi dalam dan luar negara, pengiklanan jawatan kosong perkhidmatan awam, perkhidmatan kaunter dan maklum balas aduan ser isu dalam media massa.

“Semua urusan berkaitan penganjuran majlis rasmi termasuk surat, emel dan notis jemputan, pengacaraan, bacaan doa, ucapan alu-aluan, ucapan perasmian dan ucapan penutupan, pembentangan serta dokumen edaran Agensi Kerajaan yang melibatkan peserta dalam kalangan warganegara Malaysia hendaklah disediakan dalam bahasa kebangsaan,” tambahnya.

Bagi urusan rasmi antarabangsa, pegawai perlu menyediakan dokumen dwibahasa iaitu dalam bahasa kebangsaan dan bahasa Inggeris untuk memudahkan kefahaman di samping memartabatkan bahasa kebangsaan.

Audit bahasa

Sementara itu, ketua jabatan juga dikehendaki memberikan latihan bersesuaian secara berterusan bagi memantapkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam kalangan pegawai kerajaan.
Pelaksanaan itu bakal melibatkan Munsyi Muda Bahasa lantikan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta pengauditan ke atas penggunaan bahasa kebangsaan dalam kalangan pegawai bakal diaudit secara tahunan oleh DBP.
 
Pekeliling Perkhidmatan ini berkuat kuasa mulai 15 Januari 2020.

Sumber: Jabatan Perkhidmatan Awam

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.