Siakap Keli

Pemain Bawah 18 Dinasihat Elak Tanduk Bola, Risiko Kadar Dementia Lebih Tinggi – Pakar

Umum telah mengetahui bahawa bola sepak adalah sukan nombor 1 yang paling digemari oleh semua orang di dunia ini. Kebanyakan kaum lelaki pastinya pernah bermain bola sepak dan ada juga sesetengah yang masih aktif walaupun sudah pun ‘bersara’ dalam permainan bola sepak ini.

Sememangnya mana-mana sukan pun tidak akan terkecuali dengan kecederaan. Kecederaan adalah suatu benda yang paling amat tidak digemari oleh sesiapa pun, baik orang biasa mahupun atlit.

Tahukah anda bahawa, selain berisiko kerap mengalami kecederaan di bahagian kaki, sukan ini juga boleh menyebabkan kecederaan jangka masa panjang pada bahagian kepala.

Hello Doktor ada berkongsikan berkenaan dengan kecederaan yang boleh mendatangkan penyakit untuk jangka masa yang panjang. Bagi mengetahui dengan lebih lanjut, ikuti penulisan Hello Doktor seperti berikut:

Bagi yang tidak mengenali siapa Dr Bennet Omalu, beliau merupakan seorang pakar perubatan, forensik patologi dan neuropatologi yang cukup terkenal.

Beliau merupakan orang terawal yang menemui dan menerbitkan penemuan ensefalopati trauma kronik (CTE) dalam kalangan pemain American football.

Kisah penemuan ini turut diabadikan dalam bentuk filem bertajuk Concussion yang dibintangi oleh Will Smith. Terbaru, Dr Bennet telah menyeru agar larangan menanduk bola dikuatkuasakan dalam kalangan pemain bawah 18 tahun. 

Kadar dementia yang lebih tinggi

Minggu lepas, sebuah kajian yang dilakukan oleh Glasgow University mendapati pemain bola sepak berada pada risiko 3 setengah kali ganda untuk mati akibat penyakit neurodegeneratif berbanding populasi am.

Dapatan kajian ini telah diperoleh setelah meneiliti rekod perubatan lebih 7,500 pemain bola sepak di Scotland sekitar tahun 1900 hingga tahun 1976. Menurut laporan kajian ini, berikut adalah peningkatan risiko penyakit neurodegeneratif yang telah dikenal pasti dalam kalangan pemain bola sepak:

  • 5 kali ganda untuk menghidap penyakit Alzheimer
  • 4 kali ganda untuk menghidap penyakit saraf motor
  • 2 kali ganda untuk menghidap penyakit Parkinson

Larangan menanduk bola 

 

Sehubungan itu, Dr Bennet menyeru agar pihak berkuasa melaksanakan larangan menanduk bola dalam kalangan pemain bawah 18 tahun. Menurut Dr Bennet, ketika latihan bola sepak, kanak-kanak diajar untuk menanduk bola (seberat hampir separuh kilogram) hampir setiap hari.

Perkembangan otak kanak-kanak masih tidak sempurna sebelum usia 18 tahun. Dalam fasa ini, otak mereka masih berkembang dan sangat rapuh (cenderung untuk kecederaan).

“Setiap kali kanak-kanak menanduk bola menggunakan kepala mereka, berlakunya kecederaan mikroskopik dalam otak,” kata Dr Bennet. “Dalam kepala manusia, otak berada dalam keadaan terapung dalam tengkorak dan apabila seseorang menanduk, otak akan bergerak dan melanggar dinding dalaman tengkorak. Kecederaan mikroskopik ini tidak akan mengakibatkan sebarang simptom serta-merta tetapi akan berkumpul (dengan tandukan yang berulang) dan mampu mengakibatkan komplikasi otak di masa akan datang,” tambah beliau. 

Pada tahun 2002, Dr Bennet telah melakukan autopsi ke atas seorang lagenda American Football, Mike Webster. Walaupun mendiang Mike Webster disahkan mati akibat serangan jantung, Dr Bennet telah menemui perubahan otak yang cukup mengejutkan dalam mayat mendiang.

Beliau telah mengenal pasti tanda-tanda CTE (tanda-tanda yang tidak pernah dikenal pasti sebelum ini dalam pemain sukan ini) yang berlaku akibat kecederaan kepala yang berulang.

Itu merupakan mukadimah kepada pembuktian bagaimana sukan tersebut boleh menyebabkan kerosakan otak yang kekal.

Usaha ke arah perlindungan pemain

Pada tahun 2015, Persekutuan Bola Sepak Amerika Syarikat telah mengisytiharkan larangan menanduk bola dalam sukan tersebut bagi kumpulan umur 13 tahun dan ke bawah.

Walaupun langkah ini dilihat progresif, Dr Bennet menganggap ia masih tidak mencukupi kerana perlindungan tersebut sepatutnya meliputi usia 18 tahun dan ke bawah. 

“Otak adalah otak pascamitosis. Ini bermakna ia tidak akan menjana semula apa-apa sel selepas kecederaan. Untuk itu, larangan ini perlu dipanjangkan hingga ke usia 18 tahun, apabila otak tersebut telah berkembang sepenuhnya dan berupaya untuk menahan kerosakan,” tambah Dr Bennet.

Beliau turut berpendapat bahawa kanak-kanak perlu bermain sukan bola sepak yang telah diubah suai bagi melindungi mereka untuk jangka panjang.

Mungkin ada yang berpendapat bahawa melarang perbuatan menanduk bola dalam sukan tersebut akan merosakan keseronokan sukan tersebut. Akan tetapi, Dr Bennet tidak bersetuju dengan kenyataan ini dan menganggap sukan boleh diubah suai dan mengadaptasi teknik tertentu untuk melindungi pemain. 

Awal tahun ini, Persatuan Bola Sepak Dunia (UEFA) telah memohon agar peraturan permainan diubah sedikit bagi mengurangkan tekanan ke atas staf perubatan dan juga doktor yang sedang menilai pemain atas padang.

Ini membolehkan doktor melakukan penilaian yang mencukupi ke atas kecederaan kepala pemain dan membendung kemasukan semula pemain yang telah mengalami konkusi ke dalam padang. Tindakan ini persis penilaian kecederaan kepala (HIA) yang telah dilakukan oleh sukan Ragbi.

Walaupun ia mungkin tidak disenangi ramai dan bertentangan dengan pendapat popular, faktor keselamatan pemain tidak boleh dipandang enteng.

Pihak berkuasa perlu memandang isu ini dengan serius dan mencari penyelesaian terbaik untuk peminat dan juga pemain bola sepak. Hakikat dan kebenaran perlu dihadapi walaupun ia tidak disenangi.

Sumber: Hello Doktor

Aqmal Ezany

I write what is right