Siakap Keli

19 Tahun Hidup Bersama, Lelaki Terkedu ‘Isteri’ Dikahwini Rupanya Seorang Lelaki

Seorang lelaki mendakwa telah ditipu oleh seorang ‘wanita’ warga Indonesia yang telah dinikahinya selama 19 tahun.

Difahamkan, lelaki warga Belgium itu mula bertemu bertentang mata dengan ‘wanita’ tersebut pada tahun 1993.

Menurut lelaki tersebut, ‘wanita’ yang berasal daripada Indonesia itu baru sahaja berpindah ke Antwerp, Belgium pada ketika itu.

Pertemuan pertama

Pada pertemuan pertama mereka, lelaki tersebut menyatakan bahawa ‘wanita’ itu telah berjaya membuatkan dia terpesona. Dia turut menggambarkan ‘wanita’ tersebut mempunyai rupa yang cantik dan sangat menawan meskipun tidak berapa pandai melakukan kerja seorang ‘wanita’.

Sejak dari itu, mereka berdua telah jatuh cinta antara satu sama lain dan kemudiannya berpacaran.

Percintaan mereka itu semakin mekar dan mendalam sehingga akhirnya mereka berkeputusan untuk mengikat satu sama lain melalui pernikahan.

Perjalanan mereka ketika ingin bernikah penuh dengan liku-liku dugaan yang mereka perlu tempuhi. Antara masalah terbesar adalah mengemukakan dokumen-dokumen kewarganegaraannya.

Kerana undang-undang yang begitu ketat, ‘wanita’ tersebut telah menghadapi kesukaran dalam mengajukan dokumen-dokumen yang diperlukan.

Dalam pada itu, pihak yang berwajib didakwa berulang kali menanyakan tentang identiti ‘wanita’ tersebut, akan tetapi kesemua pertanyaan tersebut berjaya diatasi dan akhirnya diterima untuk tinggal bagi jangka masa yang panjang di Belgium.

Duda anak dua

Sebelum berkahwin dengan ‘wanita’ tersebut, lelaki yang berusia 44 tahun itu dilaporkan telah pun mempunyai dua orang anak hasil daripada perkahwinannya yang sebelum ini.

Setelah berkahwin, dia pernah bertanyakan kepada si ‘isterinya’ itu sama ada mahu menambah cahaya mata ataupun tidak. Dan kedua-dua mereka pun bersepakat untuk tidak mahu menambah zuriat lagi.

Menurut lelaki tersebut, ‘isterinya’ itu adalah ‘wanita’ yang sangat baik kerana melayan anak-anaknya seakan anak kandungnya sendiri.

“Dia adalah ‘ibu’ yang sangat baik untuk anak-anak saya, dia pandai memasak, pandai membersihkan rumah dan pandai berpakaian,” katanya.

Perkahwinan mereka dilaporkan telah bertahan selama 19 tahun sehinggalah pada tahun 2012 iaitu ketika ‘isterinya’ itu sudah mempunyai pekerjaan yang stabil.

Ketika itulah lelaki tersebut berjaya menemui kebenaran yang sangat-sangat mengejutkan padanya.

Saat kebenaran terungkai

Menurutnya, ketika dia memandang ke arah lutut ‘isterinya’ itu, dia telah mendapati bahawa lutut ‘isterinya’ itu dipenuhi dengan bulu yang tidak kelihatan seperti lutut seorang wanita.

Bukan itu sahaja, sejak ‘isterinya’ itu mula bekerja, dia mendapati bahawa sikapnya telah berubah, ‘isterinya’ itu mula berpakaian seksi, dan anaknya sering melihat gambar ‘ibu tirinya’ itu tersiar di media sosial. Selain dari itu, dia juga turut menemui beberapa mesej yang dihantar ke lelaki lain.

Dalam pada itu, dia turut mendengar desas-desus bahawa ‘isteri’ keduanya itu merupakan seorang lelaki, anaknya juga turut menyatakan sedemikian.

Dia kemudiannya memanggil ‘isterinya’ itu untuk mengetahui kebenaran. Setelah perbincangan yang agak serius dilakukan, ‘isterinya’ itu akhirnya mengaku bahawa dia adalah seorang ‘transgender’ dan telah melakukan pembedahan bagi mengubah alat sulitnya itu.

“Dia adalah ‘wanita’ yang cantik dan menarik. Dia juga tidak ada tanda-tanda yang terdapat pada tubuhnya yang boleh menandakan bahawa dia adalah seorang lelaki,” ujarnya.

“Ketika kami melakukan hubungan intim, saya tidak merasakan bahawa ada apa-apa yang pelik pun, hanya biasa sahaja,” tambahnya.

“Sekarang baru saya faham kenapa. Dunia saya hancur, tertipu selama hampir 20 tahun,” katanya dalam nada yang kecewa.

Susulan daripada kejadian itu, dia terpaksa menjalani rawatan psikologi kerana kecewa dan tidak dapat menerima kebenaran.

Lelaki tersebut kemudiannya memutuskan untuk bercerai dengan ‘isterinya’ itu yang didakwa telah menipunya selama hampir dua dekad.

Sumber: Tribun Ambon

Aqmal Ezany

I write what is right

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.