Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Pengembara China Miliki Gejala Penyakit Radang Paru-Paru Akan Dikuarantin – CDC Taiwan

Taipei : Pengembara, tanpa mengira kerakyatan, yang baru-baru ini ke China dan didapati mempunyai “gejala penyakit radang paru-paru” akan dikuarantin, lapor Agensi Berita Pusat (CNA) memetik pengumuman Taiwan dalam usaha membendung ketibaan koronavirus baharu itu.

Timbalan Ketua Pengarah Pusat Kawalan Penyakit (CDC) Taiwan Chuang Jen-hsiang pada Selasa berkata langkah baharu itu berkuat kuasa pada Isnin selepas lebih banyak kes koronavirus novel 2019 (2019-nCoV) telah disahkan di China dan bahagian lain Asia pada hujung minggu.

Meskipun CDC menyatakan bahawa mereka yang dijangkiti koronavirus mungkin tidak mengalami demam, langkah dalam amalan itu masih bergantung kepada pemantauan suhu badan pengembara yang masuk apabila mereka tiba di lapangan terbang dan pelabuhan di seluruh negara.

Pengembara yang demam akan disoal mengenai sejarah perjalanan mereka dan selepas itu diperiksa oleh doktor jika perlu.

Mereka yang didapati memiliki gejala penyakit radang paru-paru seperti sesak nafas dan tahap oksigen yang rendah serta berada di China 14 hari sebelum itu akan dikuarantin, kata Chuang.

Pekerja perubatan tambahan telah dihantar ke gerbang antarabangsa Taiwan bagi membantu langkah itu.

Sebelum itu, orang ramai hanya dikuarantin jika mereka mengalami gejala-gejala penyakit radang paru-paru dan telah ke Wuhan, China di mana penularan wabak itu dipercayai bermula.

Pada masa sama, mereka yang mempunyai gejala yang disebutkan di atas dan telah ke China namun gagal melaporkan keadaan mereka kepada pihak berkuasa kesihatan yang berkaitan boleh dikenakan denda sehingga NT$150,000 (US$4,959) kerana melanggar Akta Kawalan Penyakit Berjangkit, menurut CDC.

Chuang berkata sementara itu, CDC akan mengedarkan brosur tidak lama lagi bagi penerbangan dari China, Hong Kong dan Macau yang memberi amaran kepada pengembara mengenai keseriusan nCoV 2019.

Brosur itu akan mengingatkan mereka untuk menjaga kesihatan dan melaporkan keadaan mereka kepada pihak berkuasa jika mereka mengalami gejala penyakit radang paru-paru, atau berdepan hukuman denda.

CDC mengulangi rayuannya kepada penduduk Taiwan yang mengembara ke China agar mereka memakai topeng pembedahan dan mengelak bersentuhan dengan haiwan, ke pasar haiwan dan pesakit yang mempunyai sindrom pernafasan akut.

Lebih 200 kes nCoV 2019 telah disahkan di seluruh dunia setakat ini.

China telah mengesahkan 219 kes ini, mencatat empat kematian dan 35 pesakit berada dalam keadaan kritikal.

Kes virus itu juga telah dilaporkan di tiga lagi negara iaitu Thailand, Jepun dan Korea Selatan sepanjang minggu lepas.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.