Siakap Keli
Gambar: Bernama

Anggota JPJ Terengganu Menyamar Penumpang Bas Ekspres

KUALA TERENGGANU, 24 Jan (Bernama) — Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu menugaskan anggotanya menjalankan penyamaran sebagai penumpang bas ekspres sempena Ops Tahun Baharu Cina bermula 11 Jan sehingga 2 Feb depan.

Pengarahnya Zulkarnain Yasin berkata penyamaran itu bagi mengesan kesalahan yang dilakukan pemandu bas sepanjang tempoh Ops dijalankan.

“Seramai empat anggota ditugaskan untuk melakukan penyamaran sebagai penumpang bas ekspres setiap hari.

“Setakat ini kita telah meletakkan anggota kita dalam 39 perjalanan bas bagi laluan Kuala Terengganu-Kota Bharu-Kuala Terengganu dan laluan Kuala Terengganu-Kuantan-Kuala Terengganu,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Ops Tahun Baru Cina di Kampung Cina di sini.

Katanya melalui penyamaran tersebut pihaknya telah mengesan empat kes melibatkan kesalahan pemandu bas ekspres iaitu dua kes melibatkan penggunaan telefon ketika memandu, satu kes pemandu tidak berpakaian kemas (bagi pemandu kenderaan awam) dan satu kes melanggar syarat permit.

Beliau berkata menerusi Ops itu juga sebanyak 50 bas ekspres telah diperiksa setakat ini dan kesemuanya lulus dalam pemeriksaan itu.

Dalam pada itu, seramai 289 anggota bersama 26 kenderaan peronda JPJ akan terlibat dalam pemantauan sepanjang Ops kali ini yang turut memberi tumpuan di 23 lokasi yang sering berlaku kemalangan jalan raya yang membabitkan jalan persekutuan, jalan negeri dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2).

Sumber: Bernama

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa