Seorang wanita dari daerah Wuhan, China dengan bangganya telah berkongsikan helahnya untuk melancong ke luar negara di dalam sosial media. Wanita itu yang mengalami demam, batuk dan gejala-gejala pnenumonia disyaki telah mengambil ubat antipiretik bagi menurunkan suhu badannya.
Perbuatan tersebut dilihat sebagai tindakan yang mementingkan diri sendiri ekoran kekalutan virus Wuhan yang semakin membimbangkan pada masa kini. Menurut portal setn.com, wanita itu berjaya melepasi pemeriksaan kesihatan untuk terbang ke luar negara kerana suhu badan yang ‘dikawal’ sendiri olehnya.

Wanita itu juga dikatakan telah berkongsikan beberapa foto makanan ketika dia menikmatinya di Paris bersama rakan-rakan yang lain. Tambahnya dengan bangga melalui perkongsian itu, dia telah berjaya melakukan helah bagi melepasi pemeriksaan di lapangan kapal terbang dan dapat bersama rakan-rakannya.
Virus Wuhan yang sedang melanda beberapa negara dilaporkan telah mencatatkan ratusan kes dan 25 kematian. Pelbagai langkah telah dilaksanakan seperti mengawal kemasukan pelancong daripada daerah Wuhan terutamanya kerana dikhuatiri membawa bersama virus tersebut.
Sumber: setn.com