Siakap Keli

Mayat Bayi Lelaki Ditemukan Di Tanah Perkuburan

KUALA LUMPUR, 24 Jan (Bernama) — Mayat bayi lelaki yang masih bertali pusat dipercayai baru dilahirkan ditemukan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Tua, Gombak, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan itu pada 9.30 malam daripada seorang lelaki.

Lelaki itu memaklumkan menjumpai janin manusia di dalam sebuah beg di tepi jalan, di depan tanah perkuburan itu.

“Siasatan mendapati mayat bayi lelaki yang masih mempunyai uri itu dibaluti dengan kain…bayi yang cukup sifat itu dianggarkan berusia dua hari dan mayatnya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kes disiasat menurut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyembunyikan kelahiran kanak-kanak dengan mengebumikan atau membuang mayat kanak-kanak dengan sulit.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, Inspektor Nur Atiqah Zulkefli di talian 014-5335538 atau 03-66126222.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.