Agensi Pelancongan Nafi Gambar Tular Adalah Warga China Yang Lari Ke Langkawi

LANGKAWI, 26 Jan (Bernama) — Sebuah agensi pelancongan menafikan dakwaan kononnya gambar yang tular dalam media sosial menunjukkan ratusan warga China tiba di pulau ini kerana lari daripada wabak 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV) yang dialami di negara itu.

Pengurus Pemasaran Fantastic Tour Sdn Bhd Mohd Fadhil Kamaruddin berkata, gambar yang tular itu sebenarnya adalah ketibaan penumpang dari Nanjing, China pada 17 Jan lepas melalui agensi pelancongannya.

“Seramai 180 penumpang dari Nanjing tiba di Langkawi pada 6.00 pagi, 17 Jan lepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi menerusi penerbangan sewa khas menggunakan pesawat Malindo Air.

“Mereka berada di sini selama lima hari hingga 21 Jan sahaja dan telah pun pulang. Itu gambar lama ketibaan penumpang pada 17 Jan,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.

Tambah komen

Dari Wiser.my