Siakap Keli
Gambar: Bernama

Laluan Pintu Masuk ICQ Padang Besar Lengang

PADANG BESAR, 26 Jan (Bernama) — Tidak seperti kebiasaannya pada musim cuti perayaan Tahun Baharu Cina, keadaan di pintu sempadan di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Padang Besar kelihatan agak lengang berikutan kebimbangan orang ramai terhadap penularan wabak  2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV).

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perlis, Basri Othman berkata seperti tahun sebelum ini pihaknya menjangkakan berlaku kesesakan di pintu masuk Malaysia-Thailand namun keadaan berbeza berlaku.

“Kita telah meletakkan anggota tambahan untuk memantau namun jumlah kenderaan masuk dan keluar dari kedua-dua negara boleh dibilang… Sebagai langkah keselamatan anggota bertugas dinasihatkan memakai penutup mulut dan hidung yang mula dibekalkan hari ini,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Tinjauan Bernama di sekitar Kawalan Jabatan Imigresen Malaysia Padang Besar di stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) di sini juga mendapati orang awam dan pelancong yang tiba dari Thailand memakai penutup hidung dan mulut sebagai langkah penjagaan awal bagi mengelak daripada sebarang jangkitan apabila berada di tempat umum.

Aktiviti pengimbasan menggunakan alatan elektronik khas iaitu ‘Therma Scan’ untuk mengesan suhu badan manusia dilakukan pihak Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis di pintu masuk kawalan Imigresen KTM Padang Besar bagi mengenalpasti individu yang mempunyai tanda-tanad demam dan suhu badan tinggi.

Basri berkata, buat masa ini belum ada pelancong dari Wuhan, China masuk ke negeri ini dan keadaan terkawal.

Sementara itu, pelancong dari Thailand, Aminah Susanti, 35, yang berasal dari wilayah Pattalung, Thailand berkata beliau sentiasa mengikuti perkembangan penularan wabak Koronavirus dan berharap ianya tidak merebak di Thailand mahupun di Malaysia.

“Saya doakan semuanya selamat namum sebagai langkah pencegahan saya menguna penutup hidung dan mulut sepertimana yang disarankan oleh pihak berkuasa bagi mengelak terkena jangkitan virus berbahaya itu,” Katanya.

Turut berkongsi pendapat, Mohd Amzaruddin Azmi, 46, berkata beliau membatalkan niat untuk  mengikuti konvoi motosikal kuasa besar bersama rakan-rakannya ke selatan Thailand.

“Isteri menghalang saya untuk ikuti konvoi kerana bimbang berhubung penularan wabak Koronavirus dan saya hanya habiskan cuti sempena Tahun Baharu Cina di Padang Besar  sahaja,” kata anak jati Perlis itu.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.