Siakap Keli
Sumber : Bernama

Kerajaan Gantung Sementara Semua Kemudahan Imigresen Bagi Rakyat China Dari Wuhan, Hubei

Kuala Lumpur : Kerajaan mengambil keputusan untuk menggantung sementara semua kemudahan imigresen kepada rakyat China dari bandar Wuhan dan wilayah Hubei di kelilingnya berkuat kuasa serta merta.

Menurut kenyataan akhbar Pejabat Perdana Menteri semua kemudahan imigresen itu meliputi eNTRY (kemudahan tanpa visa), Visa Semasa Ketibaan, e-visa dan visa manual.

Keputusan itu dibuat setelah mengambil kira perkembangan terkini kes jangkitan 2019 novel koronavirus di China khususnya di wilayah Hubei tersebut dan ia berkuat kuasa serta merta.

Kemudahan imigresen ini akan diberikan semula setelah keadaan kembali normal.

Menurut kenyataan itu, Wisma Putra akan menyelaras pelaksanaan keputusan tersebut bersama pihak kerajaan China.

Sejak timbulnya kes jangkitan koronavirus di China minggu lepas, kerajaan Malaysia telah mengikut prosedur-prosedur yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jelas kenyataan itu.

Selain itu, kerajaan turut mendapat nasihat pakar-pakar untuk menghadapi dan membendung jangkitan itu daripada merebak dengan meluas.

Kerajaan juga, menurut kenyataan itu, ingin mengingatkan kepada semua pihak agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak sah atau palsu berkenaan koronavirus tersebut yang boleh menyebabkan ketidaktenteraman kepada masyarakat umum.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.