Siakap Keli

Koronavirus : SKMM Diminta Ambil Tindakan Terhadap Penyebar Berita Palsu

Alor Setar : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diminta mengambil tindakan terhadap individu yang menyebarkan berita palsu berkaitan 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV), sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan orang ramai.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya dan Pembangunan Keusahawanan Kedah, Mohd Asmirul Anuar Aris berkata, selain itu, orang ramai juga digesa tidak menularkan gambar yang tidak sahih kerana bimbang ia akan menimbulkan kerisauan.

“Kalau tidak pasti, mereka perlu semak dengan kerajaan sama ada dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia atau kementerian lain yang terlibat,” katanya kepada sumber pada program sarapan pagi bersama beliau di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai gambar yang tular dalam media sosial kononnya rakyat China melarikan diri ke Langkawi berikutan wabak Koronavirus di negara itu.

Semalam, sebuah agensi pelancongan menafikan dakwaan berkenaan, dan gambar yang tular itu sebenarnya adalah ketibaan penumpang dari Nanjing, China pada 17 Jan lepas melalui agensi pelancongan itu, tetapi kesemua pelancong telah pulang pada 21 Nov lepas.

Sementara itu, Mohd Asmirul berkata setakat ini kerajaan negeri masih meneruskan promosi dan aktiviti pelancongan di Kedah seperti biasa, namun akan memperketatkan kawalan di semua pintu masuk ke negeri ini.

“Bagi kerajaan negeri, kita masih meneruskan (kempen) Visit Malaysia 2020 (VM2020). Memang ada penurunan jumlah pelancong dan kita tidak nafikan ia dari China tetapi dalam masa yang sama kita tidak fokus kepada China sahaja, sebaliknya turut memberi fokus kepada negara ASEAN, Eropah dan India,” katanya.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.