Siakap Keli
Gambar : Bernama

Pahang Nafi Ada Satu Kes 2019 Novel Koronavirus

Kuantan : Pengarah Kesihatan Pahang Datuk Dr Bahari Awang Ngah hari ini menafikan dakwaan terdapat satu jangkitan 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV) yang dikatakan dirawat di Hospital Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) di sini.

Beliau berkata dakwaan yang dimuat naik dalam laman Facebook menggunakan akaun KUANTAN CITY adalah tidak benar dan mengesahkan tiada sebarang kes disyaki Koronavirus direkodkan di mana-mana hospital di negeri ini.

“Siasatan kami mendapati pesakit terlibat merupakan warganegara Malaysia dan telah menerima rawatan kerana mendapat jangkitan virus korona yang biasa. 

“Pesakit juga tiada kaitan dengan perjalanan ke Wuhan mahupun China dalam tempoh 14 hari sebelum jatuh sakit,” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Dr Bahari berkata semua ujian makmal bagi pengesahan berhubung penyakit itu dijalankan di makmal Institut Penyelidikan Perubatan (IMPR) dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK).

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai untuk berhati-hati dan tidak menularkan berita tidak sahih berhubung penyakit itu yang boleh menimbulkan kekeliruan dan panik dalam kalangan masyarakat.

“Pihak admin laman Facebook itu juga telah mengeluarkan kenyataan memohon maaf atas kesilapan memuat naik hantaran itu yang mengakibatkan kekeliruan di laman sosial berkenaan,” katanya.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.