MOSCOW, 29 Jan (Bernama) — Syarikat Apple mengehadkan perjalanan pekerjanya ke China berikutan wabak koronavirus, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Tim Cook dalam satu wawancara dengan penyiar CNBC, lapor agensi berita Sputnik.
“Kami hadkan pekerja melakukan perjalanan ke negara itu,” kata Cook pada Selasa sambil menambah syarikat turut menyediakan kit penjagaan kepada pekerja yang bertugas berdekatan dengan bandar Wuhan.
Beliau berkata beberapa pembekal Apple di Wuhan dan sekurang-kurangnya beberapa cawangan syarikat di negara itu akan ditutup sehingga 10 Feb, atas cadangan kerajaan China.
Tambah beliau, memandangkan kebanyakan kemudahan pembuatan Apple terletak di China, penularan wabak itu akan menjejaskan jualan syarikat.
“Kami turut memberi sumbangan kepada kumpulan yang bertugas membendung wabak itu,” kata Cook.