Siakap Keli
Kredit: Google

Israel Akan Ambil Alih, Laksana Undang-undangnya Di Bahagian Tebing Barat Yang Diduduki

BAITULMAQDIS, 29 Jan (Bernama) — Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pada Selasa menyambut baik pelan damai Timur Tengah Presiden Donald Trump, dan berkata kerajaannya akan memulakan tindakan untuk mengilhakkan sebahagian Tebing Barat yang diduduki Israel, lapor agensi berita Xinhua.

Pada sidang media bersama Trump di Rumah Putih, Netanyahu berkata pengumuman pelan itu merupakan satu “hari yang bersejarah.”

Walaupun Trump hanya mendedahkan sebahagian pelan yang dicadangkannya itu, Netanyahu berkata pelan itu membolehkan kerajaan Israel menerima pakai undang-undang Israel di Lembah Jordan dan penempatan Israel di Tebing Barat.

Saluran Channel 12 Israel melaporkan kerajaan Israel dijangka meluluskan secara rasmi pengambil alihan itu dalam masa seminggu lagi.

“Israel akan melaksanakan undang-undangnya di Lembah Jordan, kepada semua masyarakat Yahudi di Judea dan Samaria (istilah Israel untuk Tebing Barat) dan ke kawasan lain yang dicadangkan dan Amerika Syarikat telah bersetuju untuk mengiktiraf kawasan itu sebagai sebahagian Israel,” kata Netanyahu.

Trump berkata pelan itu memerlukan empat tahun perbincangan antara Israel-Palestin menjelang penubuhan sebuah negara Palestin, andai rakyatnya dapat menjamin keselamatan Israel.

Netanyahu berkata beliau bersedia untuk memulakan rundingan mengenai pelan itu dengan rakyat Palestin.

Pelan damai Trump, juga dikenali Perjanjian Abad Ini, diumumkan tanpa kehadiran pegawai Palestin dan mereka tidak diundang untuk menghadirinya.

Palestin, yang tidak terlibat dalam merangka pelan itu, telah menolaknya kerana menganggapnya berat sebelah dan lebih memihak kepada Israel.

Pendudukan Yahudi terletak di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur, yang dirampas Israel pada perang Timur Tengah 1967, bersama dengan Semenanjung Gaza.

Palestin mahu membina negaranya sendiri berdasarkan sempadan 1967 (sebelum peperangan) dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.