Siakap Keli

Ragut Nyawa, Bagaimana Virus Korona Ini Boleh Tersebar Dalam Masa Singkat?

Virus korona baharu (nCoV-2019) yang kian menular saban hari telah menjangkiti hampir 4,000 penduduk di China dan pelancong dari negara luar. Angka korban di China juga telah meningkat kepada 106 nyawa.

Hal ini telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan warga dunia kerana vaksin bagi penyakit ini masih belum ditemui.

Timbul persoalan, bagaimanakah jangkitan yang berasal dari kota Wuhan itu boleh tersebar ke serata negara dalam tempoh masa yang singkat? Ikuti perkongsian oleh Hlelo Doktor seperti di bawah.

Bagaimanakah kaedah penyebaran virus korona?

Walaupun pihak berkuasa China dan WHO telah mengesahkan terdapat elemen penyebaran manusia kepada manusia bagi jangkitan nCoV, namun kaedah penyebarannya masih menjadi tanda tanya.

Seperti adik-beradiknya yang lain (SARS-CoV, MERS-CoV), jangkitan ini juga berpotensi untuk menyebabkan masalah pernafasan yang teruk. Mereka yang pernah melawat kota Wuhan mempunyai risiko yang tinggi untuk dijangkiti.

Jika dilihat pada jangkitan virus korona sebelumnya, kaedah penularan adalah melalui titisan cecair kecil (batuk, bersin), sentuhan langsung dan fomit (sentuhan objek yang tercemar dengan virus tersebut). nCoV mungkin mempunyai kaedah penyebaran yang lebih kurang sama.

Bagaimanapun, maklumat penting seperti keupayaan virus untuk tersebar sebelum individu yang dijangkiti menunjukkan sebarang gejala masih lagi menjadi persoalan utama yang perlu dirungkaikan secepat mungkin.

Virus measles, sebagai contoh boleh tersebar kepada individu lain 4 hari sebelum individu mengalami simptom. Virus influenza pula, boleh menjangkiti individu lain sehari sebelum gejala muncul.

Maklumat tersebut boleh membantu pihak berkuasa dalam perangkaan protokol perubatan dan isolasi pesakit bagi mencegah penularan lanjut wabak nCoV.

Bermula dari Pasar Borong Makanan Laut Huanan, Wuhan

Kajian yang diterbitkan pada 22 Januari 2020 oleh Wei Ji et al menunjukkan kebarangkalian virus tersebut berasal daripada ular.

Ini bukanlah satu berita yang mengejutkan memandangkan jangkitan pada fasa awal berlaku kepada individu yang bekerja atau yang datang ke Pasar Borong Makanan Laut Huanan di Wuhan.

Selain daripada makanan laut, tempat itu juga mempunyai stok haiwan eksotik yang menjadi kegemaran penduduk setempat seperti koala, kelawar dan ular.

Ia diklasifikasikan sebagai penyakit misteri namun siasatan oleh pihak berkuasa China dan WHO telah menunjukkan bahawa ia merupakan wabak virus korona baharu.

Bermula saat itu, virus korona tersebut bukan sahaja menyebabkan huru-hara pada penduduk kota Wuhan, bahkan ia turut menggegarkan dunia berikutan kes jangkitan import pada beberapa buah negara.

Kes import nCoV di Jepun

Seorang pemuda berasal dari Kanagawa, Jepun pulang dari melawat kota Wuhan pada 6 Januari 2020. Selang beberapa hari selepas itu, dia telah dimasukkan ke hospital apabila menunjukkan gejala jangkitan paru-paru.

Bagaimanapun, pemuda tersebut tidak pernah mengunjungi pasar borong yang dikatakan menjadi punca tersebarnya jangkitan virus korona baharu itu. Namun, ia menjadi bukti kepada kebarangkalian jangkitan berlaku di antara manusia dengan individu yang pernah melawat pasar borong tersebut.

Saringan pelancong di lapangan terbang giat dijalankan bagi mengesan kehadiran mereka yang berpotensi menjadi sumber jangkitan. Walau bagaimanapun, tanpa mengetahui sama ada virus tersebut boleh tersebar sebelum gejala berlaku, usaha tersebut dianggap tidak efektif.

Setakat ini (28 Januari 2020), Jepun telah mencatatkan 4 kes positif virus korona.

Kes import nCoV di Thailand

Thailand merupakan antara negara terawal yang menerima jangkitan import virus korona baharu. Setakat 28 Januari 2020, lapan kes telah dikenal pasti positif dan lima daripada pesakit tersebut telah sembuh.

Tujuh daripada lapan kes tersebut melibatkan pelancong dari Wuhan dan seorang warganegara Thailand yang baru balik dari kota tersebut. Tindakan kerajaan Thailand yang masih membenarkan kemasukan pelancong asing dari China mendapat kritikan hangat daripada rakyat negara itu.

Netizen telah menggunakan #crapgovernment bagi mendesak kerajaan Thailand untuk lebih prihatin dan menimbang tara kebaikan dan keburukan demi kesejahteraan rakyat.

Pun begitu, setakat ini, tiada penyebaran virus yang berlaku di Thailand.

Kes import nCoV di Amerika Syarikat

Kes positif virus korona pertama di Amerika Syarikat berlaku pada seorang lelaki yang berusia dalam lingkungan 30-an. Lelaki tersebut telah mendapatkan rawatan di pusat kesihatan negeri setelah pulang dari Wuhan.

Setelah CDC mengesahkan lelaki tersebut sebagai positif virus korona, dia telah dipantau di dalam bilik pengasingan yang terletak di sebuah hospital di Everett.

Bilik tersebut disediakan khas untuk pesakit yang disyaki menghidap penyakit berjangkit. Ia dilengkapi dengan teknologi perubatan moden berserta robot yang boleh melaksanakan tugas pengambilan tanda vital pesakit.

Setakat 28 Januari 2020, 5 individu telah disahkan positif melibatkan negeri Washington (1), Illinois (1), California (2) dan Arizona (1).

Kes import nCoV di Malaysia

Malaysia mencatatkan kes positif virus korona berjumlah 4 orang (setakat 28 Januari 2020) dan kesemuanya merupakan pelancong dari Wuhan, China. Berikutan wabak nCoV yang kian menular, kerajaan Malaysia telah menggantung pemberian visa kepada pelancong dari China.

Langkah ini diambil bagi menyekat penularan virus korona memandangkan masih tiada warganegara yang dijangkiti setakat ini. Penguatkuasaan polisi tersebut telah mendapat pelbagai reaksi positif daripada netizen.

Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengambil beberapa langkah bagi membendung wabak nCoV dengan baik.

Kes import nCoV di negara lain

Terdapat beberapa negara lain yang turut menerima tempias dek wabak virus korona baharu yang melanda. Antaranya adalah:

  • Hong Kong – 8 kes positif
  • Macau – 7 kes positif
  • Australia – 5 kes positif
  • Singapura – 5 kes positif
  • Taiwan – 5 kes positif
  • Korea Selatan – 4 kes positif
  • Perancis – 3 kes positif
  • Vietnam – 2 kes positif

Konklusi

Penularan wabak virus korona baharu ini menyebabkan pelbagai spekulasi timbul. Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, kita seharusnya membuang segala tanggapan negatif  bahawa jangkitan ini adalah satu bentuk konspirasi dan sebagainya.

Sebarkan maklumat yang mempunyai sumber yang sahih. Jika anda mengalami simptom selesema atau baru pulang daripada melancong di China, pergi ke fasiliti kesihatan berhampiran untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan.

Sumber : Mohammad Nazri Zulkafli via Hello Doktor

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.

Tambah komen

Dari Wiser.my

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.