Siakap Keli

Saintis Hong Kong Dakwa Telah Hasilkan Vaksin Virus Wuhan, Tapi Perlukan Masa Untuk Ujian

Sepasukan penyelidik Hong Kong telah menghasilkan vaksin bagi menangani virus maut yang berasal daripada Wuhan, namun memerlukan masa untuk mengujinya, dakwa pakar penyakit berjangkit, Profesor Yuen Kwok-yung.

Saintis di tanah besar China serta Amerika Syarikat juga dilaporkan sedang berlumba-lumba bagi menghasilkan vaksin untuk koronavirus yang telah membunuh lebih daripada 100 orang dan menjangkiti ribuan manusia.

Yuen, yang juga merupakan ketua bahagian penyakit berjangkit di Universiti Hong Kong menyatakan bahawa, pasukannya sedang membangunkan vaksin dan telah pun mengasingkan virus yang tidak diketahui itu daripada kes import pertama yang dicatatkan di negara itu.

“Kami telah menghasilkan vaksin tersebut, namun ianya memerlukan masa yang lama sebelum boleh mengujinya pada haiwan,” ujar Yuen, tanpa memberikan waktu spesifik berkenaan bila ianya boleh digunakan ke atas pesakit.

Namun dia turut menyatakan bahawa ianya akan memakan masa yang lama untuk diuji pada haiwan dan sekurang-kurangnya satu tahun untuk menjalankan ujian klinikal pada manusia sebelum ianya sesuai digunakan.

Penyelidik HKU didakwa telah mencipta vaksin tersebut berdasarkan vaksin influenza yang telah dicipta sebelum ini oleh pasukan Yuen.

Para penyelidik hanya mengubah vaksin selsema itu dengan sebahagian antigen koronavirus sahaja, ianya menjadikan kedua-dua virus ini iaitu influenza serta koronavirus baharu yang menyebabkan pneumonia ini dapat dicegah.

Jika vaksin tersebut dapat diuji dengan berjaya, ianya boleh menjadi jawapan kepada penyakit yang telah menjangkiti lebih daripada 4,600 orang di seluruh dunia dan telah membunuh lebih 100 orang di China.

Setakat ini, Hong Kong mengesahkan bahawa terdapat 8 kes positif pesakit dijangkiti dengan koronavirus ini. Sejak Isnin, lebih daripada 78 orang disyaki telah dijangkiti.

Sumber: South China Morning Post

Aqmal Ezany

I write what is right

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.