Siakap Keli

Tiga Ditahan Disyaki Terbabit Kes Pecah Rumah Di Gombak

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) — Polis menahan tiga individu termasuk seorang wanita yang disyaki terlibat kegiatan pecah rumah di Jalan Medan Selayang di sini, awal pagi tadi.

Dalam operasi pada 3.50 pagi itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak menahan dua kereta dipandu seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun dan lelaki warga Myanmar, 27 tahun.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata setelah memperkenalkan diri sebagai anggota polis, suspek warga Myanmar bertindak melarikan diri dan mencederakan seorang anggota polis.

“Suspek yang melarikan diri sejauh kira-kira tiga kilometer ke arah kawasan Prima Selayang kemudian berjaya ditahan.

“Anggota yang diserang itu mengalami kecederaan di bahagian lengan kiri dan kini dirawat di Hospital Selayang,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Arifai berkata hasil soal siasat, polis kemudian menahan seorang wanita tempatan berusia 31 tahun di sebuah hotel di Batu Caves, beberapa jam selepas itu.

“Hasil pemeriksaan di bilik hotel, polis menemukan beberapa barang yang digunakan untuk kegiatan pecah rumah serta barang kes pecah rumah di Taman Sri Selayang pada Selasa (28 Jan),” katanya.

Arifai berkata kesemua suspek kini direman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Dalam kes berasingan, beliau berkata polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita tempatan dalam serbuan di Setapak pada 26 Jan lepas kerana disyaki terlibat kegiatan curi kenderaan.

“Kesemua suspek dipercayai aktif mencuri kenderaan jenis lori untuk dijual di utara tanah air dengan harga murah. Polis turut menemukan dua lori yang dicuri oleh kumpulan ini di Gombak pada 24 Jan lepas,” katanya dan menambah kesemua suspek ditahan lima hari sehingga esok untuk siasatan lanjut.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.