Siakap Keli
Sumber: Carian Google

Mufti Jelas Hukum Suami Melarang Isteri Ziarah Ahli Keluarganya

Setiap hubungan perkahwinan pasti akan ada ujian yang memerlukan pasangan tersebut bersabar menempuhnya. Bahkan ujian yang melibatkan hubungan pasangan dengan keluarganya. Walaupun ianya dipandang remeh namun jika anda memahami hukum melarang isteri pulang ke rumah keluarganya dengan mendalam, ada yang menyebabkan hukum syarak menjadi haram.

Apa-apa pun, mari kita semua fahami penjelasan Mufti Wilayah Persekutuan mengenai hukum melarang isteri pulang ke rumah keluarganya supaya menjadi teladan kepada kita semua.

Soalan:

Assalamualaikum W.B.T Dr. Sejak berkahwin suami saya melarang saya untuk bertemu dengan keluarga saya. Saya tersangat rindu pada keluarga saya. Adakah saya wajib mentaati suami saya dan adakah saya berdosa sekiranya saya bertemu dengan keluarga saya secara sembunyi?

Jawapan:

Waalaikumussalam W.B.T. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat. Sabda Nabi Muhammad S.A.W yang diriwayatkan daripada Saidatina ‘Aisyah R.Anha:

عَنْ عَائِشَةَ، قَالَتْ: سَأَلْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم: أَيُّ النَّاسِ أَعْظَمُ حَقًّا عَلَى الْمَرْأَةِ ؟ قَالَ: ” زَوْجُهَا “، قُلْتُ: فَأَيُّ النَّاسِ أَعْظَمُ حَقًّا عَلَى الرَّجُلِ؟ قَالَ:” أُمُّه

Maksudnya: Daripada ‘Aisyah R.A bahawasanya aku bertanya kepada Nabi S.A.W “Siapakah manusia yang paling berhak atas seorang isteri?” Beliau bersabda, “Suaminya.” Aku bertanya lagi, “Lalu siapakah manusia yang paling berhak atas seorang lelaki?” Beliau bersabda, “Ibunya.”

Sunan Al-Kubra (9099)

Ulama’ bersepakat bahawa di antara perkara yang menjadi kewajipan isteri untuk mentaati suaminya ialah melayani suaminya dan sentiasa tinggal di rumah suaminya. Pada asalnya isteri tidak boleh keluar dari rumah suaminya iaitu bait al-zaujiyah (rumah kehidupan suami dan isteri) tanpa sebab yang syar’ie melainkan dengan keizinan suaminya. Hal ini sebagaimana hadis Nabi S.A.W yang menyebutkan:

إِذَا اسْتَأْذَنَكُمْ نِسَاؤُكُمْ بِاللَّيْلِ إِلَى المسْجِدِ، فَأْذَنُوا لَهُنَّ

Maksudnya: “Apabila isteri-isteri kamu meminta keizinan kamu untuk ke masjid pada waktu malam maka izinkanlah mereka”.

(Riwayat al-Bukhari)

Imam Ibn Hajar Al-Asqalani ketika mensyarahkan hadis ini menyatakan hadis ini menjadi dalil bahawa wanita tidak boleh keluar dari rumah suaminya (sekalipun ke masjid) tanpa keizinan daripada suaminya. (Rujuk: Fath al-Bari, 2/347).

Justeru, isteri hendaklah memohon keizinan suaminya untuk keluar daripada rumah suaminya sekalipun dengan tujuan untuk menziarahi kedua ibubapanya. Hal ini sebagaimana yang terdapat di dalam hadis Nabi S.A.W dalam peristiwa hadis al-ifk (peristiwa fitnah kepada ‘Aisyah) iaitu ketika ‘Aisyah R.anha meminta izin kepada baginda untuk pulang ke rumah ibubapanya.‘Aisyah berkata kepada Nabi S.A.W:

أَتَأْذَنُ لِي أَنْ آتِيَ أَبَوَيَّ؟ قَالَتْ: وَأُرِيدُ أَنْ أَسْتَيْقِنَ الخَبَرَ مِنْ قِبَلِهِمَا، قَالَتْ: فَأَذِنَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Maksudnya: “Adakah engkau mengizinkanku untuk mendatangi kedua ibubapaku? Lalu berkata ‘Aisyah ketika meriwayatkan peristiwa itu : Hal ini disebabkan aku ingin mendapatkan kepastian berita tersebut daripada kedua mereka”. Maka Rasulullah S.A.W mengizinkan daku.

Riwayat al-Bukhari (4141) dan Muslim (2770)

HUKUM SUAMI MELARANG ISTERI BERJUMPA DENGAN KELUARGANYA

Para ulama’ Hanafi dan Maliki menyatakan larangan mengenai suami yang menghalang isterinya untuk menziarahi ahli keluarganya. (Rujuk: Al-Bahr al-Raiq, 4/212; Al-Taj wa al-Iklil,5/549).  Manakala ulama’ mazhab Syafi’e dan Hanbali menyatakan harus bagi suami untuk melarang isterinya untuk menziarahi keluarganya tetapi yang lebih baik adalah tidak menghalangnya. (Rujuk: Asna al-Matalib, 3/239; Al-Insaf, 8/362).

Disebut dalam kitab Al-Fiqh al-Islami: “Adapun makruh bagi suami – sebagaimana pendapat dalam mazhab syafi’i- melarang isterinya untuk menziarahi ibu bapanya sekiranya mereka dalam keadaan sakit yang tenat dan menghadiri majis pengebumian kedua ibu bapanya ketika mereka meninggal dunia, kerana larangan tersebut boleh membawa kepada terputusnya hubungan silaturrahim”. (Rujuk: Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 7/324)

Berkata Shaikh Mahmoud Al-Shalabi: “Adalah tidak diharuskan syarak seorang suami yang menghalang isterinya untuk menziarahi keluarganya atau menghalang keluarganya untuk menziarahi isterinya kerana perbuatan ini adalah haram dan boleh menyebabkan terjejasnya hubungan kekeluargaan dan terputusnya silaturrahim”. Hal ini kerana perbuatan memutuskan silaturrahim sangat dimurkai oleh Allah sebagaimana firmanNya:

فَهَلْ عَسَيْتُمْ إِنْ تَوَلَّيْتُمْ أَنْ تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ وَتُقَطِّعُوا أَرْحَامَكُمْ # أُولَئِكَ الَّذِينَ لَعَنَهُمُ اللَّهُ فَأَصَمَّهُمْ وَأَعْمَى أَبْصَارَهُمْ

Maksudnya: “(Sekiranya kamu tidak mematuhi perintah tuhan) maka tidakkah kamu harus dibimbang dan dikhuatirkan –jika kamu dapat memegang kekuasaan- kamu akan melakukan kerosakan di muka bumi, dan memutuskan silaturrahim dengan kaum kerabat? (Orang-orang yang melakukan perkara tersebut) merekalah yang dilaknat oleh Allah, ditulikan pendengaran mereka dan dibutakan penglihatannya”.

(Surah Muhammad: 22-23)

Berkata Shaikh Islam Al-Nawawi: “Adapun larangan suami kepada isterinya untuk menziarahi keluarganya adalah tidak diharuskan dan itu bukanlah termasuk dalam hak suami, dan dia menanggung dosa daripada perbuatan tersebut kerana telah menyebabkan terputusnya silaturrahim”.

Berkata Dr Yusuf al-Qardhawi: “Tidak dibolehkan bagi seorang suami yang Muslim melarang isterinya untuk berjumpa dengan ibu bapa isterinya yang Nasrani, hal ini kerana Islam menyuruh manusia untuk berlaku ihsan kepada kedua orang tuanya”. Sebagaimana firman Allah S.W.T:

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا

Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa”.

(Surah Al-Isra’: 23)

Hal ini jelas menunjukkan sekiranya ibu bapa Nasrani perlu dijaga haknya maka adalah utama bagi seseorang untuk berlaku ihsan kepada ibu bapanya yang Muslim. Demikian juga antara hak yang paling besar dan utama bagi seseorang manusia selepas haknya kepada Allah ialah hak untuk berbuat baik kepada kedua ibu bapanya.

Islam jugak menganggap al-musaharah (persemendaan) ialah salah satu ikatan yang mengikat hubungan manusia dengan manusia selain daripada ikatan nasab sebagaimana firman Allah S.W.T:

وَهُوَ الَّذِي خَلَقَ مِنَ الْمَاءِ بَشَرًا فَجَعَلَهُ نَسَبًا وَصِهْرًا

Maksudnya: “Dan Dialah Tuhan yang menciptakan manusia dari air, lalu dijadikanNya mempunyai titisan nasab (baka) dan pertalian keluarga (persemendaan)”.

(Surah Al-Furqan: 54)

Justeru tidak diharuskan bagi para suami menindakkan ikatan ini, dan ke atas para suami untuk berbuat baik kepada ibu dan ayah mertuanya serta kaum kerabat isterinya. (Rujuk: www.alqardhawi.net)

Oleh itu jelaslah bahawa hukum suami melarang isterinya untuk menziarahi ahli keluarganya tanpa sebab yang munasabah di sisi syarak adalah haram.

Namun, sekiranya suami menghalang isterinya untuk menziarahi kaum kerabatnya kerana bertujuan untuk mengelakkan kemudaratan ke atas isteri atau perkahwinan mereka maka hal tersebut diharuskan. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 3/432; Kasysyaf al-Qina’, 3/117).

ADAKAH WAJIB ISTERI MENTAATI PERINTAH TERSEBUT?

Para ulama’ menyatakan wajib bagi isteri untuk mentaati perintah suaminya selagi mana perintah tersebut tidak bercanggah dengan syarak. Begitu juga ketika mana suami menghalangnya untuk menziarahi kedua ibu bapanya kerana kedudukan suami lebih tinggi daripada kedua ibu bapa sebagaimana hadis tentang ‘Aisyah yang telah disebutkan sebelum ini.

Namun begitu, sekiranya larangan tersebut boleh menyebabkan hubungan kekeluargaan terputus, atau ibu bapa yang uzur dan memerlukan khidmat anak, maka sesetengah ulama’ menyatakan ia diharuskan bagi isteri untuk keluar sekalipun tanpa keizinan suaminya.

Disebut di dalam kitab Al-Bahr al-Raiq: “Jika bapa isteri sedang sakit atau seumpamanya, dan dia berhajat kepada khidmatnya (anak) sedangkan suaminya melarang untuk menziarahinya, maka hendaklah isteri melanggar larangannya”. Menurut pendapat yang sahih menyatakan ialah isteri boleh keluar menziarahi kedua ibubapanya setiap Jumaat iaitu (seminggu sekali) samada dengan keiizinan suaminya ataupun tidak. Dia juga boleh menziarahi mahramnya setiap tahun sekali samada dengan izin suami ataupun tidak. Adapun keluar menziarahi keluarga melebihi dari yang demikian itu maka hendaklah mendapat keizinan”. (Rujuk: Al-Bahr al-Raiq, 4/212).

Berkata Shaikh Ali Jum’ah: “Tidak dibolehkan ke atas suami untuk melarang isterinya melakukan kewajipan yang diwajibkan ke atasnya (isteri) iaitu berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, sebagaimana tidak diharuskan untuk melarangnya (isteri) daripada melakukan kewajipan-kewajipan lain seperti solat dan puasa, dan tidak diwajibkan ke atas isteri untuk mentaati perintah suaminya itu, kerana hal tersebut boleh membawa kepada terputusnya hubungan silaturrahim dan perlakuan tidak baik kepada kedua ibu bapanya samada secara langsung atau tidak langsung, kerana ketaatan kepada suami hanya berlaku dalam perkara yang makruf”. (Rujuk: www.masrawy.com)

Berkata Dr Abd al-Karim al-Zaydan: “Jika suami melarang isteri tanpa alasan yang diterima syarak sedangkan adanya keperluan untuk menziarahi, maka boleh bagi isteri untuk tidak mentaatinya dalam larangan tersebut”. (Rujuk: Al-Mufassal fi Ahkam al-Mar’ah, 7/295).

Kesimpulan

Setelah meneliti perbahasan di atas dapat kami simpulkan masalah ini kepada beberapa perkara:

  • Diharuskan bagi isteri untuk keluar menziarahi keluarganya sekalipun tanpa izin suaminya sekiranya ada hajat yang penting seperti menziarahi ibu bapanya yang sakit atau memberi khidmat kepada mereka sekiranya mereka sangat memerlukan dengan tujuan untuk menyelesaikan hajatnya sahaja. Adapun pada keadaan yang lain maka ia tidak diharuskan kerana kewajipan isteri kepada suami adalah lebih besar daripada kedua orang tuanya.
  • Diharamkan bagi para suami melarang isteri mereka untuk menziarahi ahli keluarganya tanpa sebab-sebab yang munasabah di sisi syarak kerana hal tersebut boleh membawa kepada terputusnya hubungan kekeluargaan. Adapun sekiranya larangan tersebut adalah kerana khuatir akan mudarat ke atas isteri atau perkahwinan mereka maka hal tersebut diharuskan. Wallahu a’lam.

Kami juga menasihatkan para suami supaya bergaul dengan isterinya dengan cara yang makruf (baik) sebagaimana firman Allah S.W.T:

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْروفِ

Maksudnya: “Dan bergaullah dengan mereka (yakni isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang makruf yakni baik”.

(Surah Al-Nisa’:19)

Larangan kepada isteri untuk menziarahi keluarganya apatah lagi ibu bapa yang telah membesarkannya bukanlah satu bentuk pergaulan dengan cara yang makruf kerana hal itu boleh menyakiti pihak isteri dan kaum keluarganya. Para suami seharusnya membantu para isteri untuk menyambung silaturrahim dengan kaum kerabatnya kerana hal tersebut boleh memasukkan kegembiraan ke dalam hati isteri. Hal ini juga adalah kerana menyambung tali silaturrahim adalah sebesar-besar ketaatan kepada Allah S.W.T.

Semoga Allah memberikan kita semua kefahaman yang benar dalam beragama. Ameen.

 

Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)