Siakap Keli

Polis Pantau Saki Baki “Spotter” Termasuk Nelayan Dalang Jenayah Culik Di Sabah

SEMPORNA, 30 Jan — Polis sedang memantau saki baki “Spotter” iaitu pemerhati bagi kumpulan penculikan untuk wang tebusan (kfrg) yang menjadi dalang di sebalik setiap kejadian culik di perairan pantai timur Sabah.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata Spotter yang disiasat itu termasuk dalam kalangan nelayan.

“Kita ada terima maklumat, kita sedang siasat, pantau dan tindakan serangan akan diambil terhadap Spotter atau pemerhati kepada mangsa-mangsa yang boleh dijadikan sasaran mudah untuk diculik (oleh kfrg),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan pingat kepada 264 penerima pada Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara di sini, hari ini.

Di samping itu, menurut Omar ada beberapa Spotter berkenaan sudah ditumpaskan pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).

“Ada beberapa (Spotter) yang sudah ditembak mati antaranya di Kinabatangan, Semporna dan Lahad Datu,” katanya.

Sebelum ini Bernama melaporkan 11 Spotter ditembak mati sejak 2018.

Dalam pada itu, Omar berkata agensi keselamatan Filipina sedang mengambil tindakan memburu suspek yang menculik lima nelayan warga Indonesia di perairan Tambisan pada 15 Jan lepas.

“Saya difahamkan ada suspek penculik terkorban dalam serangan oleh pasukan keselamatan Filipina,” katanya.

Sementara itu, Komander Esscom Datuk Hazani Ghazali ketika dihubungi Bernama mengesahkan dua suspek penculik yang terbunuh dalam serangan pasukan keselamatan Filipina, dikenali sebagai Kah Bong dan Melbi iaitu pemandu arah dan perunding untuk kumpulan Abu Sayyaf.

Pada 15 Jan lepas lapan nelayan diculik di perairan Tambisan, Tungku dekat sini oleh enam lelaki, namun tiga daripadanya dibebaskan manakala lima lagi dibawa ke negara jiran.

Difahamkan nelayan warga Indonesia yang diculik ialah Arsyad Dahlan,41; La Baa, 32; Riswanto Hayano, 27; Edu Lawalopo, 53 dan Syarizal Kastamiran, 29.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.