Siakap Keli

Tiada Yang Tercicir Dalam Usaha Bawa Pulang Rakyat Malaysia Di Wuhan

KUALA LUMPUR, 30 Jan (Bernama) — Kedutaan Besar Malaysia di China sedang mengenal pasti jumlah sebenar rakyat Malaysia yang berada di bandar Wuhan dan kawasan sekitarnya dalam usaha membawa pulang mereka yang berada di kawasan terjejas ekoran penularan penyakit berjangkit 2019 novel koronavirus.

Duta Besar Malaysia ke China, Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin berkata ia bagi memastikan tiada individu yang tercicir daripada senarai mereka yang akan dibawa pulang ke tanah air.

“Kami masih meneruskan usaha mendapatkan nama dan bilangan rakyat Malaysia yang berada di Wuhan dan kawasan sekitarnya yang ingin pulang. Namun jika ada antara mereka yang enggan pulang, itu bergantung kepada mereka.

“Sehingga kini kami telah mendapat 96 rakyat Malaysia dan 20 pasangan (bukan warganegara) yang lapan daripadanya adalah pelajar dan bakinya adalah mereka yang melancong ke China untuk melawat keluarga mereka,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Raja Nushirwan berkata rakyat Malaysia yang masih belum menghubungi pihak kedutaan diminta berbuat demikian bagi memastikan proses membawa pulang berjalan lancar.

Ditanya sama ada bekalan makanan rakyat Malaysia di sana mencukupi, Raja Nushirwan berkata ketika ini pihaknya turut berusaha untuk menghantar bekalan makanan ke premis kediaman rakyat Malaysia.

“Daripada maklumat yang saya terima memang ada kebimbangan (bekalan makanan tidak mencukupi) tetapi mereka di sana masih mendapat bekalan makanan berikutan kerajaan China pun dah membekalkan makanan ke Wuhan.

“Kami pun sedang berusaha untuk menghantar bekalan makanan ke kediaman mereka (rakyat Malaysia),” katanya.

Semalam Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia bersedia untuk membawa pulang rakyatnya yang kini berada di Wuhan jika dibenarkan oleh kerajaan China.

Dr Mahathir berkata kerajaan Malaysia melalui Kementerian Luar akan memulakan rundingan secepat mungkin dengan kerajaan China bagi tujuan itu.

Kerajaan China dilapor melaksanakan perintah berkurung membabitkan jutaan penduduk di beberapa bandar raya yang dikesan dilanda wabak koronavirus.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.