Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan - Bernama

Tindakan Undang-Undang Terhadap Peniaga Naikkan Harga Penutup Hidung Dan Mulut – Timb Menteri

Kuching : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengambil tindakan terhadap mana-mana peniaga yang mengambil kesempatan dengan menaikkan harga penutup hidung dan mulut, yang mengalami peningkatan permintaan berikutan kebimbangan terhadap penyakit 2019 Novel-Koronavirus.

Timbalan Menterinya, Chong Chieng Jen berkata KPDNHEP juga telah memeriksa dan memantau premis-premis perniagaan yang menjual topeng muka bagi memastikan pengusaha premis terlibat mematuhi harga maksimum yang telah ditetapkan.

”Setakat hari ini, 3,101 premis perniagaan telah diperiksa yang merangkumi pemeriksaan topeng muka dan 10 siasatan aduan telah diterima,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KPDNHEP, Jalan Tun Jugah, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata terdapat lima jenis penutup hidung dan mulut yang ditetapkan sebagai barangan harga terkawal dan mana-mana premis perniagaan yang menjual melebihi harga yang ditetapkan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Individu yang gagal mematuhi undang-undang kawalan harga ini boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000 manakala syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000, katanya.

Chong berkata penutup hidung dan mulut jenis satu lapisan ditetapkan pada harga runcit RM7 sekotak, jenis dua lapisan (RM10 sekotak atau RM0.20 sen seunit), jenis tiga lapisan (RM25 sekotak atau RM0.80 sen seunit), jenis tiga lapisan jenis ikatan ke kepala (RM30 sekotak atau RM0.80 sen seunit) dan jenis N95 (harga borong RM100 sekotak atau RM6.00 seunit).

Beliau berkata pengguna boleh menyalurkan aduan mereka kepada Bilik Gerakan KPDNHEP Sarawak di talian 082-466012 (Kuching), 082-323836 (Sri Aman), 084-657751 (Sarikei), 084-335622 (Sibu), 084- 799678 (Kapit), 085-412862 (Mukah), 086-332176 (Bintulu), 082-412862 (Miri) dan 085- 217414 (Limbang/Lawas).

Di KOTA KINABALU, sebanyak tiga premis di Sabah didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 kerana menaikkan harga tidak munasabah bagi penutup hidung dan mulut susulan langkah berjaga-jaga 2019 Novel Koronavirus.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah Georgie Abas berkata tiga premis berkenaan adalah antara 130 premis yang diperiksa sejak 26 Jan lepas sehingga semalam.

”Dua premis melakukan kesalahan kerana menjual penutup hidung dan mulut melebihi harga maksimum yang diwartakan di bawah Perintah Kawalan Harga (Penetapan Harga Maksimum) (No 2) 2009.

”Premis pertama didapati menjual penutup hidung dan mulut jenis N95 melebihi RM12 seunit sedangkan harga maksimumnya RM6. Sebuah lagi premis didapati menjual penutup jenis tiga lapisan (ikatan di kepala) RM1 seunit sedangkan harga maksimumnya hanya 80 sen,” katanya kepada sumber di sini hari ini.

Beliau berkata sebuah lagi premis didapati melakukan kesalahan gagal meletakkan tanda harga.

”Sebanyak 3,250 unit penutup hidung dan mulut bernilai RM2,933 dirampas semasa pemeriksaan ketiga-tiga premis berkenaan dan kes berkenaan kita dalam proses siasatan,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai situasi bekalan penutup hidung dan mulut di sekitar Kota Kinabalu, Georgie berkata hasil daripada pemeriksaan mendapati ketiadaan stok penutup hidung dan mulut kebanyakannya melibatkan permis farmasi di kawasan tumpuan pelancong.

”Sebenarnya banyak lagi penutup itu dijual di kedai lain seperti di Inanam dan kita yakin bekalan sedia ada mencukupi. Orang ramai tidak perlu panik,” tambahnya.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.