Siakap Keli
Gambar Hiasan via Bernama

Belon Udara Panas Warnai Langir George Town Hujung Minggu Ini

GEORGE TOWN, 31 Jan (Bernama) — Jika anda pernah mengimpikan pengalaman menaiki belon udara panas seperti di Cappadocia, anda tidak perlu mengembara jauh sehingga ke Turki kerana pengalaman yang sama hebat boleh dinikmati di Padang Polo, di sini sempena Fiesta Belon Udara Panas Pulau Pinang bermula esok hingga Ahad ini.

Selain merasai sendiri pengalaman menaiki belon udara panas itu, orang ramai juga berpeluang melihat dengan lebih dekat cara belon udara panas itu diterbangkan ke udara.

Malah, langit di kawasan George Town akan turut diwarnai dengan 15 belon udara berwarna-warni dengan pelbagai bentuk popular seperti kartun minion, unicorn berwarna ungu dan ‘love heart’ termasuk kelainan yang ditampilkan pada fiesta tahun ini iaitu beruang berpelukan yang pasti menjadi tarikan kepada orang ramai.

Selain penduduk tempatan, peserta dan pencinta belon udara panas antarabangsa juga dijangka hadir memeriahkan fiesta yang masuk tahun keenam penganjurannya di negeri Pulau Mutiara ini.

Penganjur fiesta itu, Ketua Pegawai Eksekutif AKA Balloon Sdn Bhd, Nur Izzati Khairudin berkata persiapan rapi bagi menjayakan fiesta itu berjalan lancar bagi memberi keselesaan kepada orang ramai termasuk pelancong asing yang hadir melihat belon udara panas berkenaan.

Nur Izzati berkata selain menjalankan promosi bersama Penang Global Tourism (PGT), pihaknya mendapat bantuan yang sangat baik daripada juruterbang dan peserta belon udara panas dari luar negara yang secara tidak langsung membantu mempromosikan Pulau Pinang antara lokasi penganjuran pada tahun ini.

“Mereka (juruterbang dan peserta) begitu teruja untuk datang ke negeri ini dan menerbangkan belon udara panas masing-masing malah, pencinta belon udara panas dari luar negara juga telah mula hadir ke sini untuk bersama-sama menyertainya. Ini sesuatu yang menakjubkan,” katanya kepada Bernama, di sini.

Semua belon berkenaan diterbangkan oleh juruterbang dari 15 negara termasuk Sepanyol, Slovakia, Brazil, Australia, Jepun, Belgium, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Thailand, katanya.

Beliau berkata semua belon udara panas itu hanya dipamerkan pada dua sesi sahaja iaitu sebelah pagi pada pukul 7.30 pagi sehingga 9 pagi, dan sebelah petang bermula pukul 6 petang sehingga 9 malam dan mereka yang ingin menaiki belon udara panas perlu membayar tiket RM50 untuk ‘diapungkan’ pada ketinggian 60 meter selama 10 minit.

Nur Izzati berkata belon udara panas tidak akan dinaikkan jika angin bertiup terlalu pantas melebihi 15 knot, hujan dan cuaca yang sangat panas kerana belon itu bersifat sensitif dan tidak boleh sentiasa terdedah dengan iklim panas pada tempoh lama.

Beliau berkata pihak penganjur turut menyediakan pembersih tangan di beberapa khemah utama di fiesta itu untuk pengunjung yang hadir bagi membendung daripada jangkitan 2019 novel koronavirus.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Warisan, Kebudayaan dan Kesenian Pulau Pinang, Yeoh Soon Hin berkata Fiesta Belon Udara Panas Pulau Pinang merupakan satu daripada tarikan pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 dan beliau berharap orang ramai tidak melepaskan peluang untuk menghadirinya.

Sumber: Bernama

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.