Siakap Keli
Gambar: Bernama

ECRL Jajaran N. Sembilan Akan Bermula Suku Ketiga Tahun Ini- Loke

SEREMBAN, 31 Jan (Bernama) — Proses pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi jajaran di Negeri Sembilan akan bermula suku ketiga tahun ini, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata, jajaran di Negeri Sembilan melibatkan 58.87 kilometer (km) merangkumi dua stesen iaitu di daerah Jelebu di Kuala Klawang manakala di daerah Nilai iaitu di Kawasan Perindustrian Nilai.

“Kita akan mulakan di tanah kerajaan dahulu dan untuk mana-mana tanah milik persendirian yang terlibat kita kena tunggu sampai proses pengambilan tanah selesai.

“Jadi saya seru orang ramai pergilah lihat pameran jajaran ECRL ini di Pejabat Tanah dan Daerah masing-masing untuk lihat jajaran dan kesan serta impak penggunaan tanah di jajaran yang terlibat… dan kalau mana-mana pemilik tanah ada maklum balas mereka boleh buat bantahan atau maklum balas kepada kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat ruang pameran Skim Jajaran Keretapi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Loke berkata stesen ECRL di Jelebu akan dinamakan sebagai Stesen Klawang manakala stesen di Nilai akan dinamakan sebagai Stesen Nilai.

“Bagi Stesen Klawang ia akan dibina berdekatan jalan utama di Jelebu berhadapan dengan Kolej Vokasional Kuala Klawang dan dibina di atas tanah.

“Stesen Nilai pula akan dibina di kawasan perindustrian Nilai berhampiran Arab Malaysian Industrial Park. Ia adalah stesen integrasi yang mana kita akan bina secara bertingkat supaya dapat menghubungkan dengan stesen baharu KTM komuter Nilai yang akan dibina sekali,” katanya.

Loke berkata projek ECRL melibatkan tiga seksyen iaitu seksyen A dari Kota Bharu, Kelantan ke Mentakab, Pahang dengan jajaran sepanjang 410 km; seksyen B dari Dungun, Terengganu ke Mentakab dengan jajaran sepanjang 265 km manakala seksyen C dari Mentakab ke Port Klang, Selangor melibatkan jajaran sepanjang 165 km.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.