Siakap Keli
Gambar: The New York Times

Enam Pesakit Koronavirus Dibenarkan Keluar Hospital Di Thailand

BANGKOK, 30 Jan (Bernama) — Enam daripada 14 pesakit 2019 novel koronavirus dibenarkan keluar hospital, kata Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Thailand Dr  Sukhum Kanchanapimai.

Beliau berkata pada masa ini terdapat 135 pesakit disyaki dijangkiti virus itu dikuarantin di hospital.

“Lapan lagi pesakit yang disahkan dijangkiti virus itu masih menerima rawatan di hospital. Mereka semakin pulih, “ kata beliau dalam satu sidang media di sini hari ini.

Sementara itu, Biro Imigresen Thailand berkata sebanyak   930,965  rakyat China melawat Thailand dari 1 hingga 28 Jan.

Dalam tempoh sama, 20,271 pelancong China dari Wuhan, pusat tercetusnya wabak maut coronavirus di China, datang ke Thailand dan 95,582 pelancong China dari Guangzhou melawat negara ini.

Sementara itu, Gabenor Lembaga Pelancongan Thailand (TAT) , Yutthasak Supasorn berkata ketibaan pelancong ke negara ini dijangka menurun.

“Secara purata kira-kira 800,000 pelancong China melawat negara ini sebulan.  Berikutan tercetusnya wabak koronavirus, kami menjangka 70 peratus daripada jumlah ketibaan pelancong China itu bakal tiada,” katanya.

Presiden Persatuan Hotel Thailand, Supawan Thanomkiattibhumi berkata wabak koronavirus antara faktor menyebabkan tempahan hotel di destinasi utama menurun.

“Wabak koronavirus menakutkan pelancong, bukan sahaja pelancong China tetapi juga pelancong asing yang lain.  Dalam Februari, tempahan hadapan untuk hotel merosot daripada 50 kepada 30 peratus,” katanya.

Sumber: Bernama

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa